Suspek serang wanita OKU selepas berbalah di Tiktok dirakam percakapan

SEORANG suspek yang dipercayai menyerang seorang wanita kurang upaya di sebuah restoran di Serdang Raya, Selangor susulan pertikaian dalam satu video TikTok baru-baru ini telah dipanggil polis untuk diambil keterangan.

Wanita berusia 40 tahun itu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan selepas dia dikatakan terlibat bersama sekumpulan individu lain menyerang mangsa sehingga mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, dalam kejadian pada 18 Disember itu, mangsa yang berusia 45 tahun mengalami lebam pada pipi kiri dan bibir.

Menurutnya, suspek bersama enam individu lain menghampiri mangsa sebelum dia didakwa menumbuk muka wanita kurang upaya kira-kira lima kali.

“Polis masih menyiasat kes ini dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Farid berkata, suspek dipercayai menyerang mangsa kerana tidak berpuas hati terhadap satu video TikTok, sambil menambah bahawa kes itu kini disiasat di bawah kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan.

Terdahulu media melaporkan, seorang wanita, Rani Arumugam yang mempunyai kecacatan fizikal akibat kecederaan tulang belakang, mendakwa diserang di tempat kerjanya di Serdang Raya.

Rani mendakwa dia diserang di hadapan rakan sekerja dan pelanggan di sebuah restoran makanan segera oleh sekumpulan tujuh individu, termasuk tiga wanita.

Menurut Rani, serangan itu berpunca daripada satu video yang dimuat naiknya di TikTok sebagai maklum balas kepada seorang pengguna yang dikenali sebagai Nalinee, yang didakwa telah mengganggu sepupunya.

Rani mendakwa dia dimalukan dan trauma akibat serangan itu, dan kejadian tersebut menyebabkan dia digantung kerja.

Serangan itu juga didakwanya disiarkan secara langsung di TikTok.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img