SEORANG pelajar sukan ragbi ditemukan lemas ketika menjala ikan di kawasan kebun getah yang ditenggelami banjir di Kampung Pemberian, di Kuala Krai malam ini.
Mayat Muhammad Syahril Hakimy Sudin, 19, ditemukan pada jam 9.02 malam di dasar kebun getah pada kedalaman empat meter susulan limpahan air Sungai Lebir.
Mangsa sebelum itu dipercayai menjala ikan dengan menaiki tong dram yang dijadikan pelampung namun peralatan dinaikinya itu dikatakan terbalik.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khairul Duha Abdul Halim berkata, mayat pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di Johor itu ditemukan pada jarak 50 meter dari lokasi dia dikhuatiri hilang.
“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 7.22 malam. Jentera tiba di lokasi jam 7.55 malam bersama lapan anggota termasuk pegawai.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, maklumat awal diterima daripada orang awam memaklumkan bahawa seorang lelaki dewasa dikhuatiri lemas selepas tong dinaiki terbalik semasa menjalankan aktiviti menjala ikan di kawasan kebun getah yang dinaiki air,” katanya ketika dihubungi, lapor Sinar Harian.
Sementara itu, jiran mangsa, Syafirul Iman Mohd Rasdhi, 20, memberitahu, Muhammad Syahril Hakimy dipercayai keluar menjala ikan pada jam 3 petang.
Menurutnya, kehilangan Muhammad Syahril Hakimy disedari oleh seorang penduduk kampung selepas menjumpai selipar dan jala miliknya di tebing pada jam 6 petang.
“Tong dram yang dinaikinya didapati terbalik. Tetapi dia tidak ditemukan selepas usaha awal mencarinya dilakukan.
“Saya kemudiannya menghubungi pasukan penyelamat untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Tambahnya, Muhammad Syahril Hakimy dikatakan sedang bercuti di kampung halaman.


