
Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani
BARU-baru ini seakan-akan terdengar bisikan antara jelas dan tidak jelas apabila isu UEC disentuh. Khabarnya dasar baharu bahasa akan diperkenal tidak lama lagi.
Adakah akhirnya UEC akan turut disahkan juga? Semua maklum, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi ialah bahasa Melayu. Bahasa Inggeris bahasa kedua dan mungkinkah
“bahasa Mandarin” bahasa ketiga?
Sejak bila kita tersasul tentang perlunya negara kita yang kecil ini akan bahasa ketiga sedangkan bahasa pertama dan bahasa Inggeris pun masih dalam keadaan kelam kabut?
Tujuh puluh tahun. Kita kurang jelas. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya tidak melayan setiap kehendak golongan kiasu khasnya untuk memilih bahasa ketiga, keempat dan seterusnya.
Selain bahasa Melayu dan Inggeris semua bahasa lain dianggap bahasa asing yang setaraf dan digalakkan untuk dikuasai. Bahasa Melayu adalah bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan sejak merdeka 1957 khasnya di semua sekolah kerajaan dan institusi pendidikan.
Bahasa Inggeris menjadi subjek wajib dengan sejumlah waktu ditetapkan dalam seminggu di sekolah dan institusi lain. Sehingga kini, kira-kira 70 tahun bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diajar. Memang tidak dinafikan ada kejayaannya. Tidaklah kosong.
Tetapi kenyataan pahit yang tidak boleh dinafikan, kita masih boleh menemui banyak pelajar dan generasi muda Tionghua umumnya yang tidak fasih, malah tidak tahu langsung berbahasa Melayu, tergagap-gagap termasuk ahli Parlimen dari Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
Sedikit aneh ada yang fasih pula bahasa Inggeris? Majoriti mereka tidak bersekolah di sekolah kebangsaan dan sama ada di sekolah jenis kebangsaan atau sekolah persendirian.
Selain kawan-kawan, penulis kerap menggunakan perkhidmatan awam seperti tren, teksi, grab dan seumpamanya. “Tinjauan secara kualitatif” melalui sembang santai penulis dan rakan-rakan tadi dengan pemandu dan penumpang semasa dalam perjalanan banyak membuktikan kebenaran hakikat yang pahit tersebut.
Jika ragu-ragu silalah alami sendiri. Banyak kajian membuktikan hal tersebut termasuk peserta Program Latihan Khidmat Negara satu ketika dulu.
Kefasihan bahasa Inggeris juga masih belum memuaskan secara umumnya walaupun merupakan subjek wajib dari Tahun 1 sekolah rendah hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah, berjumlah 11 tahun belajar bahasa Inggeris.
Akibatnya menjadi salah satu sebab bahasa Inggeris dijadikan bahasa bagi subjek Matematik dan Sains sebagai ubat kegagalan penguasaan bahasa Inggeris sedangkan sepatutnya kurikulum Inggeris tersebut, buku teksnya, pedagogi dan lain-lain yang perlu dibaiki.
Maka belajarlah pula anak Pak Kaduk Matematik dan Sains dalam bahasa yang asing daripada kehidupan mereka di rumah dan persekitaran. Guru bahasa Inggeris yang patut bertanggungjawab tetapi guru Sains dan Matematik yang menjadi mangsa untuk membaiki kegagalan penguasaan bahasa Inggeris tersebut.
Kini kita semacam terhidu akan disogokkan pula bahasa ketiga. Mandarin? Jika betul, apakah tujuan sebenarnya? Jika kerana mahu mengambil hati, agak-agaklah sikit. Amat tidak wajar untuk dilayan golongan yang setelah 70 tahun masih menolak semua yang berbau ” kebangsaan dan Melayu”.
Ini bukan fitnah atau persepsi kosong. Terlalu banyak buktinya. Justeru perlukah sehingga begini mahu diambil hati golongan penutur jati Mandarin tersebut walaupun diakui mereka sebahagian daripada rakyat negara ini?
Penutur jati Tamil juga mahu Tamil menjadi bahasa ketiga. Begitu juga bahasa Arab, Jepun, Korea, Perancis, Rusia, Sepanyol malah bahasa yang memang berasal dan berakar di sini, Iban, Bajau, Melanau, Murut, Kadazan, Senoi dan lain-lain boleh dan sesuai menjadi bahasa ketiga?
Sedangkan selama 70 tahun ini sebagai rakyat negara ini masih banyak lagi dalam kalangan mereka, berketurunan Tionghua dan menjadi pemimpin besar parti yang tetap menolak sistem pendidikan kebangsaan negara ini? Mereka turut bermati-matian menolak tulisan jawi yang mereka tahu itu merupakan tulisan asal bahasa Melayu.
Mereka juga menolak Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Jika jawi mahu dikaitkan sebagai satu tulisan bagi banyak buku agama, lebih banyak buku agama di sini bertulisan rumi. Patutnya dibantah juga tulisan rumi.
Selain itu banyak juga buku agama Islam dan agama lain ditulis dalam bahasa Inggeris. Mengapa pula tidak pernah dibantah pengajaran bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan. Tidak dibantah pun mereka akan tulisan rumi. Malah sistem pendidikan persendirian mereka sendiri selain mengutamakan bahasa Mandarin, bahasa Inggeris sangat diberi penekanan ketimbang bahasa kebangsaan negara ini.
Jika usul bahasa ketiga bertujuan untuk mengambil hati mereka, penulis merasakan amatlah tidak sesuai, tambahan dengan tulisan kanji piktograf yang sukar dan perlu penghafalan yang cukup intensif. Berkali-kali ganda sukarnya tulisan piktograf Mandarin.
Alangkan bahasa Inggeris bertulisan rumi pun pelajar kita masih “kelam-kabut”. Jelas terserlah sikap kiasu, mementingkan diri puak mereka.
Perlukah lagi dilayan sikap kiasu mereka yang tidak pernah mengenal erti persefahaman atau tolak ansur? Sebagai bukti yang sangat jelas pimpinan mereka hampir tidak pernah mahu mengakui dan menyebut bahasa kebangsaan sebagai bahasa Melayu. Bibir mereka seperti kaku dan pena mereka tetap menggunakan istilah bahasa Malaysia, istilah yang tidak betul (haram). Jijik sangatkah nama bahasa Melayu itu?
Lebih menyakitkan segala permintaan dan desakan berupa ugutan mereka seolah-olah wajib ditunaikan oleh kerajaan dulu, kini dan selamanya? Hanya desakan dan ugutan mereka perlu dilaksana.
Bagi mereka, mereka tidak perlu mengikut apa-apa kehendak kerajaan dan negara ini, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan apa sahaja yang “berbau Melayu” termasuk Perkara 152, bahasa Melayu, Perkara 153, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan anak negeri Sabah, Sarawak.
Sudah 70 tahun, sikap mereka tidak pernah berubah dan nampaknya tidak akan berubah. Sistem pendidikan yang memisahkan anak pelbagai kaum sejak rebung dipertahankan mereka semahunya. Tujuh puluh tahun kedegilan tentunya sudah sangat liat untuk dilentur. Semua orang lain diminta bertolak ansur, memahami ketimbang mereka yang seperti menolak keberadaan bangsa asal negara ini, Melayu.
Mereka seperti orang Eropah yang amat memahami bahawa orang Melayu penuh dengan budi bahasa, adab sopan dan tata susila yang tinggi sebagai orang Timur. Mereka walaupun orang Timur tidak berganjak sekali-kali walaupun sebenarnya penerimaan bangsa Melayu terhadap kewarganegaraan mereka sebelum merdeka dahulu atas prinsip “jus soli” merupakan hutang yang tidak akan terbayar sehingga bila-bila.
Mereka sedar dan tahu. Cuma pura-pura tidak tahu kerana sedikit keinsafan tentang hal tersebut dirasakan pasti akan merugikan golongan mereka. Sebab itulah jika dalam kalangan mereka yang sedar cuba mengingatkan mereka akan dicaci maki semahunya dan dianggap musuh.
Orang-orang seperti mendiang Prof Khoo Kay Kim, Prof Teo Kok Seong, Prof Ridhuan Tee dan peguam Tai Zee How (Cina Apek) amat dibenci walaupun cuma sekadar mengingatkan mereka tentang sejarah dan hakikat keberadaan mereka di bumi ini.
Justeru sejarah wajib diajar kepada semua dengan kurikulum baharu yang berteraskan jati diri dan hakikat kewujudan negara ini sejak abad kedua Masihi.
Negara ini memang sifatnya pelbagai kau dan bangsa tetapi tidak boleh dinafikan sama sekali hakikatnya yang sebenar bahawa negara ini adalah negara Melayu dan berteraskan keMelayuan seperti negara China yang berteraskan Cina dan keCinaan, benua India yang berteraskan keIndiaan.
Maka saling berkenalanlah serta saling menghormati dan bukannya bersikap kiasu seolah-olah tidak sedar diri dan hanya mahu “menggigit”.
Semoga Si Tionghua sahabatku akan insaf akhirnya atau aku umpama menanti kucing bertanduk?
- Penulis adalah Pengerusi Insan Rabbani dan Komuniti Madani,
Majlis Perundingan Melayu (MPM)


