KEHILANGAN Suri Narudin hanya disedari selepas beberapa hari wanita itu gagal tiba di Zurich, Switzerland seperti dijadualkan, sebelum rakan yang menunggu di sana menghubungi keluarganya di Sarawak.
Rakan rapat mangsa, Mac Ruhayu Mohd Nor berkata, Suri, 53, sepatutnya berlepas dari Kuala Lumpur ke Doha, Emiriah Arab Bersatu (UAE) terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Zurich, Switzerland.
“Rakan yang menunggu di Doha tidak tahu nak hubungi siapa apabila Suri tidak tiba, menyebabkan kebimbangan hanya tercetus selepas rakan di Switzerland gagal mengesan kehadirannya.
“Rakan-rakan di Switzerland yang mula risau sebab dia tak muncul-muncul. Mereka tunggu sampai lapan jam, tapi Suri tak sampai, itu yang akhirnya hubungi keluarga di Sarawak,” katanya hari ini, lapor BH.

Mac Ruhayu berkata, perjalanan ke Switzerland adalah rutin tahunan Suri untuk bertemu rakan-rakan lama, dan tiket penerbangan serta perancangan perjalanan sudah diuruskan lebih awal.
Menurutnya, kehilangan Suri hanya mula mencetuskan kegelisahan apabila beberapa hari berlalu tanpa sebarang khabar, sedangkan mangsa kebiasaannya mudah dihubungi dan sentiasa memaklumkan pergerakan kepada rakan terdekat.
“Mengenali Suri, dia bukan jenis yang akan senyap begitu saja. Bila dah beberapa hari tak dapat dikesan, memang kami rasa ada sesuatu yang tak kena.
“Bila rakannya yang menunggu di Zurich hubungi keluarga apabila Suri tidak kunjung tiba, itu yang baru kami semua menggelabah. Suri sudah tempah menginap tiga haru dua malam di Zurich,” katanya.
Beliau berkata, usaha mencari Suri pada peringkat awal berdepan kekangan kerana tiada petunjuk jelas, menyebabkan laporan kehilangan yang dibuat oleh ahli keluarga pada mulanya tidak memberi gambaran wujud unsur jenayah.
Bagaimanapun, katanya selepas desakan berterusan termasuk penyebaran maklumat awam termasuk dia sendiri memuat naik satu rakaman video di media sosial berhubung kehilangan Suri, siasatan mula digerakkan dengan lebih meluas.
“Atas desakan dan kerjasama semua pihak, barulah pencarian itu bergerak satu demi satu. Kalau tidak, kes ini mungkin dianggap tiada unsur jenayah. Namun kita berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan pantas mereka dalam kes ini,” katanya.
Mac Ruhayu turut memaklumkan, Suri tinggal di Apartmen Seri Nilam, Ampang selain kerap berulang alik dari Sarawak ke Kuala Lumur, dan ketika berada di Kuala Lumpur, mangsa menetap bersama anak saudara perempuan yang bekerja di sebuah pusat beli-belah.
Menurutnya, seorang lelaki yang ditugaskan membantu urusan harian termasuk menghantar anak saudara mangsa ke sekolah juga dikenal pasti dalam siasatan, namun menyerahkan sepenuhnya perkembangan lanjut kepada pihak polis.
“Saya serahkan sepenuhnya kepada polis untuk siasatan. Yang penting sekarang kami hanya mahu kebenaran dan penjelasan,” katanya.
Mac Ruhayu berkata, buat masa ini identiti mayat wanita yang ditemui di sebuah rumah kosong Kampung Batu 4, Pedas, Negeri Sembilan semalam belum dapat dipastikan 100 peratus yang itu adalah Suri.
“Anak saudara Suri yang tinggal bersamanya di Ampang sudah ke Hospital Rembau untuk proses pengecaman mayat.
“Saya dimaklumkan pengesahan identiti mangsa masih memerlukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi menentukan secara muktamad sama ada mayat yang ditemukan adalah Suri,” katanya.
Mac Ruhayu menambah, beliau sendiri akan ke Hospital Rembau dalam masa terdekat bagi urusan seterusnya selepas proses bedah siasat selesai, sebelum membawa pulang jenazah ke Sarawak.
“Jika disahkan mangsa itu adalah Suri, kita akan uruskan dengan kerjasama Rumah Sarawak. Jenazahnya akan dibawa balik ke kampung halamannya di Kuching, Sarawak.
“Sebagai rakan rapat dan keluarga, saya memang terasa amat sedih. Memang berharap dia ditemui selamat dan sempurna. Namun jika ini sudah takdirnya, saya terima,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan Suri daripada keluarga terdekat wanita itu yang dibuat di Balai Polis Ampang.
Sebelum itu, tular rakaman video penyanyi Mac Ruhayu yang memohon bantuan orang ramai bagi mengesan rakannya yang dilaporkan hilang dan gagal dihubungi.
Difahamkan, wanita berkenaan dijadualkan berlepas ke luar negara pada 9 Disember lalu, namun gagal dihubungi sejak sehari sebelumnya.


