Kes penipuan tawaran kerja meningkat 146 peratus kerugian cecah RM202.58 juta

SEBANYAK 8,484 kes penipuan tawaran pekerjaan sambilan direkodkan di seluruh negara dari 1 Jan hingga 14 Dis tahun ini melibatkan kerugian RM202.58 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa dalam kenyataan hari ini, berkata jumlah itu meningkat 146 peratus atau 5,033 kes berbanding tempoh sama tahun lepas yang mencatatkan 3,451 kes.

Jumlah kerugian juga meningkat kira-kira 70 peratus berbanding RM118.83 juta pada 2024.

“Peningkatan ini menunjukkan jenayah penipuan itu bukan sahaja semakin berleluasa malah memberi kesan kewangan besar kepada mangsa.

“Sindiket lazimnya menggunakan media sosial dan aplikasi pesanan segera dengan menawarkan pekerjaan sambilan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat sebelum mangsa diminta membuat bayaran pendahuluan ke akaun keldai,” katanya, lapor Bernama.

Rusdi berkata tiada majikan yang sah akan meminta sebarang bayaran pendahuluan daripada calon bagi mendapatkan pekerjaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada, tidak mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali dan membuat laporan polis segera jika mengesyaki menjadi mangsa penipuan.

“Mereka juga disarankan segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 bagi tindakan awal untuk membolehkan pihak berkuasa mengesan dan membekukan aliran kewangan terlibat,” katanya.

Beliau berkata JSJK akan terus mempergiat usaha pencegahan, siasatan dan penguatkuasaan bagi membanteras jenayah itu secara menyeluruh.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img