POLIS menahan suami kepada Suri Narudin, 53, wanita yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu untuk membantu siasatan kes penemuan mayat dalam beg yang ditanam di sebuah rumah tanpa penghuni di Kampung Batu 4, Pedas, Negeri Sembilan semalam.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata lelaki berkenaan yang berusia awal 50-an ditahan di sekitar Genting Sempah, Pahang kurang 24 jam selepas penahanan suspek pertama di Melaka, petang semalam.
Menurut beliau, suspek pertama berusia 41 tahun yang ditahan di Melaka dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan suami Suri, sekali gus membawa kepada penahanan lelaki berkenaan.
“Kita baru menahan suami Suri di Genting Sempah tadi dan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suami Suri mengakui pembabitan dalam kes kehilangan wanita itu, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan keseluruhan kertas siasatan.
Media hari ini melaporkan seorang lelaki ditahan di Melaka semalam bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita dalam beg yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas.
Suspek pertama itu kini direman selama tujuh hari sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu penyanyi berasal dari Sarawak , Mac Ruhayu Mohd Nor yakin mayat wanita yang ditemukan dalam rumah tidak berpenghuni itu adalah rakan baiknya, Suri Narudin yang dilaporkan hilang di Ampang sejak 8 Disember lalu.
Menurut Mac Ruhayu, kakak kandung Suri juga telah hadir di Hospital Rembau bagi menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
“Saya yakin itu jasad Suri. Suspek juga ialah orang yang dikenali oleh Suri,” katanya ketika dihubungi, lapor Sinar Harian.
Menurutnya lagi, maklumat awal daripada pihak hospital mengatakan bahawa keputusan ujian DNA tersebut akan mengambil masa antara dua minggu hingga empat bulan.
“Bedah siasat telah selesai dan kami juga perlu menunggu laporan rasmi daripada pihak polis,” katanya.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi berhubung identiti mayat wanita yang ditemukan dalam beg itu.


