ARIS Burger melakar satu pencapaian strategik dengan pelancaran produk Ready-To-Eat (RTE), sekali gus memperkukuh kedudukan produk halal keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Pengasas Aris Burger, Datuk Haris Embong berkata, pengenalan RTE ini merupakan permintaan pengguna terhadap makanan segera yang praktikal tanpa menjejaskan rasa dan jaminan halal.
“RTE Aris Burger diwujudkan bagi menawarkan pilihan makanan yang mudah disediakan, berkualiti serta diyakini halal. Ia menjadi solusi kepada pengguna bandar, keluarga bekerja dan generasi muda yang sentiasa bergerak pantas,” katanya ketika ditemui media di Majlis Perasmian Produk RTE Aris Burger di Kompleks Usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Batu Muda, Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis perasmian ini turut disempurnakan oleh Pengerusi MARA Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Haris berkata, produk tersebut mempunyai keunikan tersendiri menerusi penggunaan patty daging yang lebih tebal dan padat.
Menurut beliau, setiap hidangan dirumus bagi mengekalkan rasa berjus, tekstur lembut serta keseimbangan perasa, menjadikan RTE Aris Burger berbeza daripada kebanyakan produk konvensional di pasaran.
“Formulasi resipi yang digunakan memastikan rasa burger ini setanding dengan burger restoran, walaupun disediakan dalam bentuk siap dimakan.
“Sebagai jenama Bumiputera, kami komited membangunkan produk yang bukan sahaja berdaya saing di pasaran tempatan, malah mampu menembusi pasaran global,” ujarnya.
Dalam pada itu, Haris menyasarkan pemasaran RTE Aris Burger secara berperingkat di pusat beli-belah utama serta rangkaian runcit moden termasuk pasar raya besar dan kedai serbaneka terpilih di seluruh negara.
Selain pasaran domestik, syarikat itu turut merangka perancangan eksport ke pasaran antarabangsa khususnya di Asia Tenggara, Timur Tengah dan beberapa pasaran terpilih di Eropah, selari dengan aspirasi Malaysia sebagai hab halal global.


