POLIS menahan anak lelaki kepada wanita yang maut bersama anak angkat perempuannya dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Rathna, Telok Air Tawar di Butterworth pada 10 Disember lalu berikutan terdapat unsur jenayah.
Suspek yang berusia lingkungan 20-an ketika ini masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) berikutan kecederaan dialaminya dalam kejadian itu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, lelaki berkenaan kini direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 25 Disember depan bagi membantu siasatan.
“Siasatan polis mendapati kebakaran yang mengorbankan dua mangsa tersebut mempunyai unsur jenayah dan susulan itu, kita menahan lelaki berkenaan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Bernama.
Azizee dalam pada itu memaklumkan mayat wanita dan anak angkatnya masih ditempatkan di Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB) dan belum boleh dituntut ahli keluarganya kerana masih menunggu ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk pengesahan rasmi.
Dalam kejadian tersebut, Hayani Yaakob, berusia lingkungan 50-an dan anak angkat perempuan dikenali sebagai Andra berusia lima tahun, rentung akibat terperangkap di dalam rumah berkenaan, manakala anak lelakinya cedera dihempap struktur bumbung yang runtuh.
Media sebelum ini melaporkan, pasukan bomba dan penyelamat menerima panggilan pada jam 9.41 pagi dan mayat kedua-dua mangsa ditemukan di ruang tamu berhampiran pintu utama, manakala anak lelakinya ditemukan di kawasan pintu dapur sebelum dibawa ke HSJ untuk menerima rawatan.


