MARA komited bangunkan inovasi, perluas pasaran global usahawan

USAHA Majlis Amanah Rakyat (MARA) membangunkan kawasan industri berteraskan inovasi dan penyelidikan disifatkan sebagai satu inisiatif strategik dalam melahirkan usahawan Bumiputera yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif tersebut bertujuan mempromosikan kepada khalayak kewujudan kawasan industri di tengah-tengah bandar raya yang mampu menjadi simbol kehebatan serta kejayaan MARA.

Menurut beliau, usaha itu membuktikan keupayaan MARA dalam melahirkan pelbagai produk yang bukan sahaja bertaraf tempatan, malah mampu menembusi pasaran antarabangsa.

“Inovatifnya usaha-usaha MARA dalam melahirkan pelbagai produk yang bukan sahaja bertaraf tempatan, tetapi juga bertaraf antarabangsa,” katanya kepada media pada Majlis Perasmian Halal Industry and Product Expo Conference (HIPEC) 2025 di Batu Caves, Selangor hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, pencapaian berkenaan turut menjadi kebanggaan kepada usahawan MARA yang berjaya, khususnya hasil kerjasama penyelidikan bersama institusi pengajian tinggi seperti Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurutnya, inisiatif sedemikian amat penting kerana usahawan bukan sekadar perlu memasarkan produk, sebaliknya harus diperkukuh dari sudut penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Pembangunan R&D memerlukan kerjasama yang rapat dengan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan tinggi bagi memastikan produk yang dihasilkan lebih inovatif dan berdaya saing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan MARA akan memberi fokus utama kepada pembangunan R&D bermula 2026 bagi membantu lebih ramai usahawan mengembangkan potensi perniagaan masing-masing.

Katanya, sokongan kepada usahawan tidak boleh tertumpu kepada pembiayaan semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan khidmat nasihat, pemantauan perniagaan serta pengukuhan asas penyelidikan produk.

“Tidak cukup sekadar membantu dari segi pembiayaan dan bimbingan perniagaan, sebaliknya asas paling penting untuk mengembangkan potensi produk usahawan Bumiputera ialah kekuatan R&D,” katanya.

Tambah beliau, MARA komited menjadikan penyelidikan dan pembangunan sebagai keutamaan bagi memastikan produk keluaran usahawan tempatan mampu bersaing di pasaran global serta terus relevan dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img