
Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani
Baru-baru ini Perdana Menteri dalam ucapannya semasa perasmian Majlis Tilawah al-Quran menyatakan bahawa institusi pendidikan pondok akan diperkasa.
Bagaimanapun semua sistem sedia ada yang meliputi kurikulum, kaedah pengajaran tidak akan diusik atau diganggu. Yang akan dilakukan ialah penambahan nilai dalam kurikulumnya agar selaras dengan perkembangan dan teknologi semasa.
Antaranya berkaitan dengan teknologi maklumat dan kecerdasan buatan. Ini diharap akan menjadikan sistem pengajian pondok dan pelajarnya mempunyai daya saing dan kebolehpasaran yang tinggi berbanding kurikulum lama atau sedia ada. Memperkasa institusi pondok adalah selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang telah menetapkan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
Institusi pondok wujud sejak sebelum merdeka lagi di banyak negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu seperti Kedah, Perak dan Kelantan.
Namun baru-baru ini juga seperti yang diberitakan dalam akhbar, kira-kira 200 sekolah agama rakyat telah mendapat surat amaran supaya keluar dari premis perniagaan tempat institusi tersebut beroperasi.
Jumlah tersebut melibatkan kira-kira 40,000 orang pelajar Islam di Selangor khususnya yang menghadapi kemungkinan sekolahnya perlu ditutup atau dipindah ke tempat lain. Jika sekolah dipindahkan pun berkemungkinan menghadapi masalah logistik yang boleh menyebabkan pelajar terpaksa berhenti kerana jauh dan sebagainya.
Kita tentu masih ingat satu ketika dahulu, sekitar tahun 1990-an dan tahun-tahun 2000, terdapat isu kilang haram di banyak tempat di Selangor. Banyak kilang menghadapi kemungkinan terpaksa ditutup atau disaman kerana tidak mendapat kebenaran beroperasi akibat masalah teknikal dan sebagainya.
Maka akhirnya sebagai salah satu penyelesaian utama maka dianjurkan program pemutihan kilang haram tersebut. Usaha ini pastinya mengambil kira bahawa kilang tersebut dikatakan banyak memberi pulangan ekonomi dan hasil kepada kerajaan negeri dan juga persekutuan.
Maka program pemutihan kilang haram dilaksanakan. Pihak berkuasa tempatan di kawasan terlibat telah turut mengadakan pelbagai sesi libat urus, memberi bimbingan dan nasihat termasuk dari segi teknikal bagi mematuhi prosedur yang berkaitan sekalipun secara minimum bagi tujuan pemutihan kilang haram.
Antaranya sesi yang berlangsung pada 6 November 2023 oleh Majlis Bandaraya Shah Alam dan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan bagi membantu dan membimbing pengusaha kilang haram yang terlibat.
Agensi lain yang terlibat membantu berkaitan hal teknikal termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran. Pengusaha kilang meliputi semua kategori ringan, sederhana dan berat. Semua usaha itu dilaksanakan untuk mendapat maklum balas, cadangan bagi membantu pengusaha kilang haram yang dirasakan telah membantu hasil dan ekonomi negeri.
Pada satu ketika, 1,476 buah kilang memohon kelulusan merancang, 537 buah kilang memohon kelulusan bangunan, 138 buah kilang memohon permit bangunan sementara dan 3,038 buah kilang memohon kelulusan dengan semuanya berjumlah 5,366 permohonan.
Pada Oktober 2023 sahaja sebanyak 5,628 lot tanah hak milik atau 722 kilang dan 257 buah kilang dalam senarai inventori yang telah dibanci oleh pihak berkuasa tempatan dan pejabat daerah tanah Selangor. Semua itu menunjukkan jumlah yang amat besar.
Merujuk usaha gigih pemutihan kilang haram tersebut, rasanya tidaklah keterlaluan jika usaha pemutihan, pemulihan, bimbingan dan bantuan teknikal yang serupa diberikan kepada semua sekolah atau institusi agama tersebut sebelum langkah terakhir arahan penutupan dibuat.
Sebagai tenaga pengajar berkelulusan khusus agama dan bukannya kejuruteraan pastinya majoriti staf institusi tidak mahir dengan hal-hal teknikal, reka bentuk pelan dan bangunan. Walaupun mungkin institusi agama tersebut tidak menjamin sebarang pulangan hasil atau ekonomi yang lumayan buat negeri tetapi mereka turut menghasilkan produk yang lebih daripada itu.
Produk mereka ialah insan atau manusia yang bakal menjadi warganegara berakhlak mulia, bermanfaat bagi masyarakat dan negara seperti yang turut dihasratkan oleh sebuah kerajaan madani.
Tiada gunanya sebuah negara yang maju tetapi warganegaranya berakhlak buruk yang dapat memberi kesan negatif kepada negara. Mereka dididik agar menjadi insan yang beramanah, bertanggungjawab di dunia dan akhirat. Mereka menjadi warganegara yang beradab dan bermaruah di samping menjadi manusia yang punya ihsan dan bersikap kepedulian terhadap masyarakat dan negara ini.
Ini tentulah selari dengan hasrat kerajaan dan masyarakat madani yang sewajarnya disokong oleh semua pihak terlibat. Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan lain-lain amat wajar memberi khidmat nasihat dan bantuan yang perlu.
Semoga Perdana Menteri dan Menteri Besar dan pihak berwajib di Selangor khasnya terus prihatin dan proaktif tentang isu ini dan memberi segala sokongan dan bantuan yang perlu demi kelangsungan anak-anak pelajar di institusi berkenaan.
Ini juga demi masa depan mereka untuk memberi khidmat untuk agama, bangsa dan negara tercinta dan bukannya menutup ruang bimbingan selama ini yang jarang dilakukan terhadap institusi tersebut.
Masa depan pelajar tersebut tidak wajar digelapkan atau menjadi pertaruhan sedangkan jalan penyelesaian yang menguntungkan semua pihak masih boleh dilaksanakan oleh semua yang terlibat.
- Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti MADANI, Majlis Perundingan Melayu


