Kenapa Trump tidak layak menerima layanan mesra Malaysia?

Oleh Tian Chua

Kita rakyat Malaysia terkenal dengan sikap mesra dan hospitaliti. Kita membuka rumah, berkongsi makanan terbaik dan menyambut tetamu dari seluruh dunia.

Ia sebahagian daripada budaya kita untuk melayan tetamu dengan kemurahan hati dan rasa hormat. Namun, keramahan tidak seharusnya diberikan secara membuta tuli.

Pada saat kemanusiaan sedang diuji dengan krisis moral, kemesraan kita tidak boleh disalah tafsir sebagai restu kepada mereka yang memijak keadilan dan undang-undang antarabangsa.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, sejak kembali ke tampuk kuasa, telah membuktikan bahawa dia tidak layak menerima layanan mesra Malaysia mahupun ASEAN.

 Dia merosakkan ekonomi global melalui tarif sewenang-wenangnya, membuli rakan dagangan, dan menekan hak sivil di negaranya sendiri. Lebih parah, dia terus melindungi kekejaman Israel di Gaza.

 Trump memveto resolusi PBB, menghalang Palestin daripada mendapat wakil di PBB, malah pernah mencadangkan idea tidak masuk akal untuk mengusir semua rakyat Gaza bagi memberi laluan kepada projek hartanah mewah. Sokongan tanpa syaratnya terhadap Israel menjadikan dia bersubahat dalam jenayah terhadap kemanusiaan.

Atas semangat diplomasi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober. ASEAN menghargai kerjasama dengan semua kuasa besar, bukan sahaja demi perdagangan tetapi juga kestabilan serantau. Namun, keamanan dan keadilan tidak boleh dikorbankan semata-mata atas kepentingan ekonomi.

Trump bukan sahaja gagal menunaikan tanggungjawab global Amerika. Dia memperlekeh undang-undang antarabangsa, mensabotaj resolusi PBB, menghalang hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), dan terbaru, menghalang delegasi Palestin daripada menghadiri sidang PBB.

Tindakan ini jelas melanggar Perjanjian Ibu Pejabat PBB 1947. Menghamparkan karpet merah untuk Trump bermakna mengkhianati nilai dan sejarah kita sendiri.

Saat kita menyambut kemerdekaan, kita mengingat kesengsaraan penjajahan dan jalan panjang menuju kedaulatan. Palestin hari ini sedang melalui perjuangan yang sama, cuma dengan bom yang jatuh, tanah yang dirampas, anak-anak yang kebuluran, dan suara yang dibisukan.

Bagi kita, Palestin bukan wilayah jauh. Jika kita menghargai kemerdekaan sendiri, kita mesti berdiri bersama semua bangsa yang masih memperjuangkan hak mereka.

Seorang kanak-kanak Palestin melarikan diri untuk menyelamatkan selepas kediamannya diserang tentera Zionis, minggu lalu.

Malaysia sentiasa menyokong Palestin di bawah mana-mana kerajaan dan generasi. Ia perjuangan yang menyatukan kita melangkaui kaum dan agama. Menyambut Trump sekarang akan memberi mesej salah-bahawa kita sanggup menghormati seorang lelaki yang tangannya berlumuran darah rakyat Palestin. ASEAN juga tidak boleh memberikan pentas kepada pembohongan dan hipokrasinya.

Malaysia perlu mengambil pendirian berani untuk membatalkan jemputan kepada Trump. Rantau kita mesti menunjukkan bahawa pemimpin yang bersubahat dengan pembunuhan beramai-ramai tidak akan diberi penghormatan di sini. Sebaliknya, ASEAN harus menegaskan komitmennya kepada keamanan, kemerdekaan, dan keadilan antarabangsa.

Kita juga mesti berdiri bersama semua bangsa yang dipermainkan oleh keangkuhan Trump. Solidariti kita bukan sahaja untuk Palestin, tetapi untuk semua yang tertindas di seluruh dunia—termasuk rakyat Amerika sendiri. Jika hari ini Trump boleh menafikan Palestin daripada diwakili di PBB, esok dia boleh membisukan mana-mana negara kecil yang berani menentang kepentingan Amerika.

Malaysia juga mesti menentang rancangan berbahaya Trump untuk mengusir rakyat Palestin secara besar-besaran, yang jelas bersamaan dengan pembersihan etnik.

Tindakan Malaysia sangat penting bukan sahaja kepada Palestin, tetapi kerana suara kita mewakili ASEAN, dunia Islam, dan Selatan Global. Dengan menolak kehadiran Trump, kita menghantar mesej jelas: tiada kuasa besar, walau sekuat mana sekalipun, berhak mengugut negara kecil atau melanggar undang-undang antarabangsa.

Bagi Malaysia, menolak kehadiran Trump bukan sekadar soal dasar luar. Ia adalah amanah sejarah, penghormatan kepada kemerdekaan kita, dan komitmen terhadap keadilan. Hospitaliti adalah satu kebajikan, tetapi ia tidak boleh diberikan kepada penjenayah yang bersubahat dengan pembunuhan beramai-ramai.

Trump tidak layak menerima sambutan kita. Dan Malaysia mesti berani menyatakannya.

Pada 6 September (hari ini, kumpulan masyarakat sivil akan mengadakan perarakan bantahan terhadap lawatan Trump, bermula jam 5 petang dari McDonald’s Bukit Bintang ke KLCC. Sertailah kami untuk mendesak kerajaan membatalkan jemputan kepada Trump.

Tian Chua adalah Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP).

Artikel ini disiarkan dalam Dunia Palestin.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img