CELOTEH SABTU
OLEH kerana sudah terlalu lama atau kuno, penulis pun dah tak ingat bila kali terakhir baca surat layang yang berterbangan dalam dunia politik. Jadi bila heboh ada surat layang tersebar menjelang Perhimpunan Agung Bersatu penulis tertanya-tanya ‘makhluk’ mana yang buat surat itu?
Menghasilkan surat layang satu hal, isi kandungan surat pun satu hal. Tak kisahlah macam mana pun bagi penulis ‘makhluk’ yang tulis surat layang itu ‘ada masalah mental’. Kalau ‘makhluk’ tu tak ada masalah tersebut, kenapakah dia sanggup buat benda macam tu ketika menjelang perhimpunan agung parti?
Kalau ‘mental ok’ pastinya dia tak akan buang masa dengan melakukan kerja bodoh melaga-lagakan sesama pemimpin dalam Bersatu.
Penulis tahu ‘ada sikit’ masalah antara pemimpin dalam Bersatu tetapi itu biasalah, semua parti ada masalah, cumanya mereka pandai berlakon, tak payahlah penulis sebut parti mana.
Tapi malangnya dalam Bersatu, lain pula ceritanya…sampai ada ‘makhluk’ sanggup buat surat layang. Mungkin betul kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, surat itu bertujuan nak pecah belahkan pemimpin Bersatu.
Perhimpunan agung bukan tempat untuk buat perangai buruk tu sebaliknya bagi menyatukan seluruh kepimpinan dari bahagian sampailah MPT. Mereka dapat berjumpa setahun sekali sahaja, sepatutnya tak ada lah ‘makhluk’ yang nak buat ‘kerja-kerja iblis’ pecah belahkan orang khusunya dalam parti Melayu.
Tak kisahlah pemimpin manapun yang ‘makhluk’ tu sokong tapi janganlah adu dombakan mereka. Kena ingatlah perhimpunan agung ini untuk kukuhkan parti bukan nak lemahkan parti.
Buat apa buang masa ke sana fitnah orang sini, ke sini fitnah orang sana apa faedah Bersatu dapat? Perhimpunan ni bukannya nak bincang siapa nak jadi Perdana Menteri (PM) tetapi nak bincang strategi hadapi pilihan raya.
Soal siapa PM biarlah ditentukan selepas menang pilihan raya..ni pilihan raya pun tak tahu bila lagi, dalam Bersatu dah macam kapal nak pecah! Lagipun nak tentukan calon daripada Perikatan Nasional bukan hak eksklusif Bersatu, sebaliknya kena bincang dengan parti lain khususnya Pas.
Buat masa ini tak ada sebab nak bincang. Kalau ada juga puak nak bincang, takut nanti ‘mati dalam berangan’.
Penulis harap ‘makhluk’ yang buat surat layang tersebut bertaubatlah! Bukan kata dalam Bersatu, malah dalam mana-mana parti sekalipun khususnya parti Melayu…Jangan buat dosa adu domba orang. Kalau ada isu atau ada masalah kemukakan secara sopan…minta sapa-sapa bangkitkan masa perbahasan, biar pemimpin jawab semasa sesi penggulungan.
Itu barulah dianggap berani dan berakhlak. Kalau setakat buat surat layang, itu pengecut namanya dan lebih teruk lagi perbuatan itu tiada bezanya dengan pengkhianat.


