SUSPEK utama kes penemuan mayat seorang wanita dalam beg yang ditanam di belakang sebuah rumah tanpa penghuni di Pedas, Negeri Sembilan pada Khamis lalu, direman selama tujuh hari sehingga 26 Disember depan.
Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Seremban hari ini di hadapan Majistret Nurul Farha Sulaiman di mana suspek yang diwakili peguam Sean Dudley dan proses permohonan itu selesai kira-kira jam 10.10 pagi.
Suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga dibawa keluar oleh polis dari kamar mahkamah sebelum diiringi menaiki van ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau.
Terdahulu, suspek yang berusia lingkungan 50-an tiba di mahkamah kira-kira jam 9.45 pagi untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata lelaki itu direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
Menurut beliau, suspek ditahan di kawasan Genting Sempah, Pahang petang semalam, kurang 24 jam selepas penahanan suspek pertama di Melaka, pada petang Khamis.
Katanya, polis belum mengesahkan identiti mayat wanita dalam beg berkenaan memandangkan keadaan jasadnya yang reput.
“Bedah siasat dilakukan oleh Bahagian Perubatan Forensik Hospital Rembau dan punca kematian belum dapat dikenal pasti kerana jasad si mati sudah reput,” katanya.

Kehilangan seorang wanita, Suri Narudin, 53, sejak 8 Disember lalu yang dilaporkan di Ampang, Selangor membawa kepada pemeriksaan sebuah rumah di Rembau sebelum polis menemukan mayat dalam beg ditanam di pekarangan belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4 Pedas.
Tidak sampai 12 jam selepas penemuan itu, polis menahan suspek pertama di Melaka, pada petang Khamis lalu, disusuli suspek utama petang semalam.


