DATUK Seri Anwar Ibrahim menyambut baik penilaian yang dibuat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap ekonomi Malaysia.
Perdana Menteri berkata, dalam keadaan dunia yang semakin mencabar, keutamaan negara kini terus tertumpu pada usaha memastikan kestabilan ekonomi tidak hanya diterjemah dengan bertanggungjawab, malah mesti dirasai rakyat, melalui sektor dan peluang pekerjaan yang terjamin serta adil, dan keyakinan yang tinggi terhadap masa depan.
“Kerajaan MADANI akan terus mengurus kewangan awam secara berhemah dan mempercepat pembaharuan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13), agar pertumbuhan yang kita bina benar-benar kukuh, berdaya tahan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya yang juga Menteri Kewangan dalam hantaran di media sosial rasmi beliau.
IMF dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, Malaysia menunjukkan daya tahan ekonomi yang ketara terhadap ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan dasar, disokong penggunaan dan pelaburan domestik yang kukuh, pertumbuhan pekerjaan dan kitaran peningkatan sektor teknologi global.
Institusi kewangan antarabangsa itu berkata, prestasi kukuh Malaysia sebahagiannya mencerminkan dasar ekonomi yang mantap dengan pihak berkuasa mengekalkan dasar makroekonomi dan kewangan yang berhemat.
Menurut kenyataan itu, perjanjian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-Malaysia pada Oktober 2025 juga telah membantu mengurangkan ketidaktentuan bagi perniagaan dan pengguna di Malaysia.
Namun, ia mengingatkan bahawa landskap global telah berubah, dengan ketidaktentuan global menjadi normal baharu justeru, membina semula penampan makroekonomi Malaysia masih kritikal.
“Ketahanan ekonomi Malaysia dijangka berterusan dalam jangka terdekat, disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.
“Kakitangan IMF mengunjurkan pertumbuhan perlahan sedikit daripada 4.6 peratus pada 2025 kepada 4.3 peratus pada 2026, terutamanya mencerminkan kesan tarif AS yang lebih tinggi ke atas Malaysia.
“Risiko kepada pertumbuhan condong kepada kemerosotan dan mungkin disebabkan terutama oleh permintaan yang sangat perlahan dalam ekonomi luaran,” kata kenyataan IMF itu lagi.


