Tukang cat kereta maut, pelajar sekolah cedera motosikal terbabit kemalangan

SEORANG pekerja cat kereta maut manakala seorang pelajar sekolah cedera selepas motosikal ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Felda Semenchu–Kota Tinggi di Kota Tinggi, Johor malam tadi.

Kemalangan melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun dengan motosikal jenis Y15ZR yang ditunggang pelajar sekolah berusia 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut pada jam 9.45 malam melibatkan dua buah motosikal.

“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku apabila salah sebuah motosikal dilanggar dari belakang sehingga menyebabkan kedua-duanya terbabas ke bahu jalan.

“Berikutan itu, penunggang motosikal jenis 135LC mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal jenis Y15ZR pula cedera di muka dan kaki kini dirawat di Hospital Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Yusof, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu tidak kurang lima tahun.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama di jalan raya,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img