`Jangan risau Saifuddin, Pas mampu teraju PN dan negara’ – Sanusi

KETUA Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini meyakinkan pucuk pimpinan gabungan Perikatan Nasional (PN) bahawa parti itu dalam keadaan terbaik bukan sahaja untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) malah untuk mentadbir negara.

Menteri Besar Kedah itu berkata, partinya sedia menerajui PN dalam menghadapi PRU-16 kerana memiliki barisan kepimpinan berpengalaman dan berkeupayaan mengurus negara.

“Pas adalah parti terbaik bukan saja untuk PN malah negara ini. Parti ini juga memiliki pemimpin yang menganggotai Jemaah Menteri kerajaan Persekutuan sebelum ini selain ramai yang pernah dan sedang memegang jawatan menteri besar serta ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri,” katanya, lapor FMT.

Muhammad Sanusi mengulas gesaan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah kelmarin agar PN perlu mengemukakan pimpinan berkeupayaan mengurus ekonomi ketika negara mungkin bersedia menghadapi PRU-16 susulan tempoh Parlimen yang genap tiga tahun.

DATUK Seri Saifuddin Abdullah

Beliau seterusnya memberitahu, Pas mempunyai ramai teknokrat yang menjadi ahli dan penyokong parti untuk diketengahkan sebagai pemimpin negara dan negeri.

Dari sudut jentera parti dan akar umbi katanya, Pas adalah parti terbaik di negara ini bukan sahaja untuk PN, malah negara ini perlu dipimpin oleh Pas.

“Ramai pegawai tadbir dan kakitangan awam ada kebolehan, hanya perlu kepada teraju yang mampu membuat keputusan yang munasabah,” kata beliau lagi.

Ketika pentadbiran PN sebelum ini, dua pemimpin tertinggi Pas dilantik sebagai menteri iaitu Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (portfolio Alam Sekitar dan Air) serta Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Parlimen dan Undang-undang bawah Jabatan Perdana Menteri).

Sementara itu, ketika ditanya adakah calon pemimpin PN yang ‘berkeupayaan mengurus ekonomi’ perlu datang daripada Pas, Muhammad Sanusi berkata ‘tidak semestinya’.

“Yang penting daripada orang yang betul-betul ahli, ada kemahiran yang wajar dalam sesuatu bidang. Jangan pakai formula sendiri saja, tak peduli pandangan orang yang benar-benar ahli sesuatu bidang,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img