POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket memproses dadah jenis ketamin menggunakan makmal haram selepas menyerbu beberapa premis yang turut dijadikan lokasi pengedaran dadah jenis kokain dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang dianggarkan bernilai RM1.53 bilion di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejayaan itu hasil beberapa siri serbuan dilancarkan pada 16 Disember lalu dan membawa kepada penangkapan enam individu terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing berusia antara 24 hingga 39 tahun.
Menurut beliau, suspek pertama berperanan sebagai ketua penjaga stor dan pembantu ‘ahli kimia’.
“Suspek keempat dan keenam merupakan orang kepercayaan suspek pertama yang berperanan menguruskan rumah kediaman dan premis perniagaan untuk dijadikan sebagai makmal haram memproses dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak April lalu dan menggunakan rumah kediaman serta premis perniagaan sebagai makmal memproses dadah untuk pasaran antarabangsa.
Secara keseluruhan katanya, JSJN merampas 3 kilogram (kg) MDMA, 4,041 kg kokain dan 14,493 kg ketamin yang dianggarkan mampu ‘merosakkan’ seramai 68.5 juta pengguna.
“Semua rampasan ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan,” katanya.
Menurut beliau lagi, kesemua suspek direman tujuh hari bermula 17 hingga 23 Disember depan bagi membantu siasatan, manakala ujian saringan awal mendapati beberapa suspek positif dadah jenis ketamin dan methamphetamine.
Selain rampasan dadah, polis turut menyita lima kenderaan termasuk kereta, forklift dan sebuah lori dengan nilai sitaan berjumlah RM389,000 bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Kejayaan ini hasil risikan berterusan JSJN serta kerjasama orang awam. PDRM tidak akan berkompromi dengan pihak yang terlibat pengedaran dadah, memiliki, atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” tegas beliau.


