Suami maut, isteri parah motosikal berkuasa tinggi terlibat nahas

SEORANG lelaki maut manakala isterinya parah selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangi mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 13, Jalan Jerantut-Temerloh, berhampiran Kampung Tebing Tinggi di Jerantut, Pahang petang semalam.

Nahas berlaku kira-kira jam 6.25 petang ketika pasangan itu, Noor Aizat Abu Bakar, 44, dan isterinya, Noorhashimah Ramlee, 44, dalam perjalanan untuk menghadiri majlis perkahwinan di Jitra, Kedah.

Allahyarham Noor Aizat yang merupakan kakitangan di Hospital Jerantut meninggal dunia di tempat kejadian manakala Noorhashimah mengalami kecederaan parah.

ALLAHYARHAM Noor Aizat Abu Bakar

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mohd Azahari Muhktar berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggangi mangsa datang dari arah Jerantut menghala ke Temerloh.

“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, pemandu SUV dikatakan membuat pusingan U dari lorong kiri ke kanan, menyebabkan berlaku  perlanggaran.

“Berikutan rempuhan itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya cedera parah dan kini masih dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemandu SUV berusia 73 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohd Azahari berkata, kemalangan ini berpunca daripada kecuaian pemandu SUV yang membuat pusingan U di tempat larangan.

“Kawasan kejadian merupakan jalan lurus tiga lorong dua hala dengan permukaan tar yang rata dan kering, selain cuaca pada waktu kejadian dilaporkan baik,” katanya sambil memberitahu kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, adik Noorhashimah, Nur Hidayatul Husna Ramlee, 29, berkata, ketika kejadian, kakak dan abang iparnya itu dalam perjalanan ke Jitra.

Menurutnya, Noorhashimah memaklumkan kepada keluarga mereka akan bermotosikal ke Kedah untuk menghadiri majlis perkahwinan itu petang semalam.

“Sehari sebelum kejadian, kakak ada memaklumkan akan menghubungi saya sebelum beliau bertolak. Bagaimanapun petang semalam kakak tidak hubungi saya dan kira-kira jam 8 malam kami terkejut kerana dimaklumkan dia dan abang ipar terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jerantut malam tadi, lapor Harian Metro. 

Allahyarham Noor Aizat dan isterinya dikurniakan tiga anak lelaki berusia 22, 16 dan 10 tahun. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Utara 3, Jerantut hari ini.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img