KEMENTERIAN Luar hari ini mengesahkan enam daripada tujuh rakyat Malaysia yang terkandas akibat bencana banjir dan tanah runtuh di Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh, Indonesia telah selamat pulang ke tanah air.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setakat semalam, kementerian itu menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan terus memantau situasi bencana dan mendapati seorang rakyat Malaysia masih hilang.
“Rakyat Malaysia yang hilang iaitu Asrul Nizam Apridwson, kementerian dimaklumkan operasi pencarian memasuki hari ke-23 masih diteruskan, dan buat masa ini tiada pemakluman terkini daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung mangsa,” katanya kepada kepada pemberita selepas Program Khatan Perdana Taman Pinggiran Senawang di Seremban hari ini, lapor Bernama.
Ditanya mengenai status pelajar Malaysia, Mohamad berkata, Education Malaysia di Jakarta melaporkan sebanyak 49 pelajar Malaysia berada di Provinsi Aceh, dengan 24 daripadanya masih berada di sana manakala 25 lagi selamat pulang ke tanah air sehingga 16 Disember lalu.
“Pelajar kita di Provinsi Aceh berada dalam keadaan selamat dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut menyalurkan bantuan kewangan RM500 kepada pelajar Malaysia yang terkesan di Indonesia,” katanya.
Mohamad berkata, secara keseluruhan, Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia melaporkan sebanyak 1,071 orang terkorban, 185 masih dilaporkan hilang dan lebih 525,868 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara akibat bencana tersebut, setakat semalam.
Beliau berkata Indonesia juga menganggarkan kos keseluruhan bagi proses pemulihan dan pembinaan melebihi RM12.7 juta (51.82 trilion rupiah) bagi ketiga-tiga wilayah tersebut.


