Tiga modus operandi utama sindiket dadah dikenal pasti

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti tiga modus operandi utama yang sering digunakan sindiket pengedaran dadah melibatkan negara iaitu melalui perairan laut dalam, memperalatkan keldai dadah serta menyalahgunakan perkhidmatan kontena di pelabuhan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga taktik itu dikesan hasil analisis operasi dan risikan pihaknya sejak Januari lalu sehingga Khamis lepas.

Bagi modus operandi transit di perairan laut dalam, kata beliau, sindiket biasanya menggunakan bot nelayan untuk mengambil bekalan dadah dari kapal induk dan membawanya masuk ke perairan Malaysia.

“Antara kejayaan PDRM adalah Ops Gombe pada 23 April hasil maklumat penyeludupan dari Golden Triangle ke Australia di perairan Terengganu yang menahan dua lelaki tempatan dan merampas 590 kilogram (kg) methamphetamine serta heroin base dianggarkan RM24.9 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Seterusnya Hussein berkata, sindiket turut merekrut individu untuk dijadikan keldai dadah melalui media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram serta aplikasi komunikasi termasuk WhatsApp, Telegram dan WeChat.

“Individu terbabit dijanjikan pakej percutian percuma serta gaji lumayan namun dijadikan keldai dengan taktik menyembunyikan dadah pada badan, menelan ketulan dadah, menyimpan dalam bagasi atau ruang rahsia atau transit ke negara ketiga untuk mengambil dadah dan dihantar ke negara destinasi,” kata beliau.

Bagi modus operandi menyalahgunakan kontena pula, beliau berkata, sindiket menggunakan sistem penghantaran kargo antarabangsa dengan mengisytiharkan barangan sah dalam dokumen kastam, namun membawa masuk atau menghantar keluar dadah dalam jumlah besar.

Menurut Hussein, kejayaan membanteras modus operandi itu dibuktikan menerusi Ops Borzoi pada 25 Januari lalu hasil perkongsian maklumat JSJN dan Australian Federal Police (AFP) berkaitan penyeludupan untuk pasaran Sydney, Australia melibatkan rampasan 33,200 kg methamphetamine bernilai RM1.06 bilion.

“Ops Virola pada 7 November hasil kerjasama JSJN dan AFP pula berjaya mengesan penyeludupan methamphetamine dari negara Timur Tengah yang transit di Pelabuhan Klang, Selangor membawa kepada rampasan 45 kg methamphetamine bernilai RM1.44 juta,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img