BN akan bincang status MIC dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi tahun depan

BARISAN Nasional (BN) akan mengadakan perbincangan berhubung  status penglibatan MIC pada Mesyuarat Dewan Tertinggi parti komponen itu yang akan diadakan tahun depan.

Bagaimanapun Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan berhubung perkara itu tidak termasuk dalam agenda Perhimpunan Agung UMMO 2025 yang dijadualkan berlangsung pada Januari ini.

“Perkara ini tidak ada kena-mengena dengan perhimpunan agung, kerana status UMNO dengan MIC sama saja dalam Barisan Nasional, kita akan adakan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN Januari tahun depan dan ketika itu kita akan putuskan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pengumuman Pakej Lengkap Desa Kirana di Sekinchan, Selangor hari ini, lapor Bernama.

Media sebelum ini melaporkan Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN.

Bagaimanapun, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk diteliti.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut meminta perwakilan Sabah untuk turun membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag susulan tarikh yang bertindih dengan perhimpunan agung parti berkenaan.

“Namun, jika mereka telah membeli tiket dan menempah bilik, kita tidak menghalang untuk mereka datang ke perhimpunan agung. Bagi mereka yang tidak dapat datang, kita akan siarkan secara dalam talian di semua 25 bahagian di Sabah.

” … sekiranya mereka memutuskan untuk berkumpul di satu tempat, umpamanya di Ibu Pejabat UMNO Sabah di Kota Kinabalu, langkah ini akan lebih memudahkan untuk mereka mengikuti Persidangan Agung UMNO 2025 yang diadakan pada Januari tahun depan,” kata Timbalan Perdana Menteri itu.

Perhimpunan Agung UMNO 2025 dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 17 Januari 2026, manakala ‎hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag ditetapkan pada 24 Januari 2026, dan penamaan calon serta pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Januari.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img