SEORANG kanak-kanak perempuan maut selepas hampir 12 jam bertarung nyawa akibat parah dirempuh kereta dipandu bapanya yang ketika itu sedang mengundur di Taman Kesang Baru, Parit Bunga, di Tangkak, Johor kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 pagi mengakibatkan mangsa yang berusia dua tahun cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar jam 7.30 malam hari yang sama.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintenden Jamellulkamal Abdul Halim berkata, siasatan awal mendapati bapa mangsa berusia lingkungan 30-an sedang mengalih kenderaan dengan cara mengundurkan kereta.
Beliau berkata, bapa mangsa kemudian menyedari telah terlanggar sesuatu di belakang dan segera memberhentikan kenderaannya.
“Kanak-kanak terbabit dikatakan secara tiba-tiba keluar dari dalam rumah dan berada di belakang kereta tanpa disedari bapanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jamellulkamal berkata, pelanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius di kepala sebelum rebah di lokasi.
Kes ini katanya, kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Khairul Azmi Ibrahim di talian 011-1244 5836 bagi membantu siasatan.


