Media perlu bertanggungjawab jaga sensitiviti hubungan Malaysia-Indonesia

IKATAN Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) Malaysia mahu media massa memainkan peranan mensejahterakan hubungan kedua-dua negara dengan menghormati dasar atau kebijakan dasar kepimpinan masing-masing.

Presiden Iswami Malaysia, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata laporan media perlu menjurus kepada usaha mengukuhkan lagi hubungan dua hala, selain memahami isu-isu berkepentingan bersama.

Merujuk kejadian bencana alam di Pulau Sumatera, Indonesia baru-baru ini dan pendirian Indonesia tidak menerima bantuan luar negara, beliau berkata, media kedua-dua negara perlu berhati-hati dalam membentuk naratif pelaporan.

“Malaysia dan Indonesia adalah negara serumpun, jika ada yang ditimpa musibah, kedua-dua negara akan sentiasa bersama menolong di peringkat kepimpinan dan rakyat.

“Media pula perlu sentiasa mendukung apa-apa jua usaha dilakukan kerajaan dalam menangani segala permasalahan atau isu-isu berkepentingan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pelaporan tepat amat penting bukan sahaja untuk memastikan masyarakat mendapat maklumat sebenar, malah mengekalkan hubungan baik dan persefahaman antara kedua-dua negara jiran yang berkongsi sejarah, budaya dan berkepentingan strategik serantau.

Ahmad Zaini memberitahu, media Malaysia yang membuat liputan atau laporan bencana berkenaan perlu beretika dan prihatin terhadap musibah yang berlaku di Aceh atau beberapa wilayah di Sumatera Utara.

“Laporan yang dibuat mestilah positif dalam usaha kita bersama-sama menangani isu bencana berkenaan tanpa memberikan naratif buruk yang boleh menjejaskan keharmonian kedua-dua negara,” katanya sambil menambah Iswami Malaysia sentiasa menghormati segala dasar atau kebijakan polisi pemerintah Indonesia.

Ahmad Zaini berkata, Iswami Malaysia yakin semangat ASEAN serta hubungan akrab yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto akan terus merapatkan hubungan, kefahaman dan kerjasama antara dua negara serumpun itu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img