United ‘kembali ke gua’…tewas 1-2 kepada Aston Villa, …. tapi Amorim kata ‘’pasukannya lebih baik’’

RUBEN Amorim meratapi nasib malang Manchester United ketika menentang Aston Villa, dengan mendakwa pasukannya adalah “pasukan yang lebih baik” dalam kekalahan 2-1 itu.

United dibolosi dua jaringan cantik oleh Morgan Rogers, masing-masing sebelum dan selepas gol penyamaan Matheus Cunha, namun mereka gagal bangkit buat kali kedua, sekali gus mengalami kekalahan kedua dalam 27 perlawanan Liga Perdana Inggeris di tempat lawan di Villa Park.

Pasukan Amorim, yang kehilangan Bruno Fernandes kembali dihantui dengan sikap membazirkan peluang apabila Cunha mensia-siakan peluang keemasan melalui tandukan pada separuh masa kedua, tidak lama selepas jaringan kedua Rogers.

Kini, United hanya menang sekali dalam 14 perlawanan Liga Perdana Inggeris di tempat lawan.

“Saya rasa kami adalah pasukan yang lebih baik hari ini. Kami tidak bernasib baik, walaupun dengan kecederaan Bruno, tetapi sepanjang perlawanan, walaupun tanpa dia, kami tetap pasukan yang lebih baik.

“Kami menyekat peralihan permainan dengan baik, dan mereka juga bermain dengan sangat baik. Kami melakukan tugas yang sangat bagus yang mungkin tidak akan diingati esok kerana apa yang penting adalah keputusan.

“Kami sudah tahu Aston Villa bermain dengan ramai pemain di bahagian dalam, dan kami perlu mewujudkan lebihan pemain dalam situasi itu. Kami telah berlatih untuk perkara tersebut.

“Kami menggunakan pilihan yang berbeza, kami boleh menggunakan kesebelasan utama yang berbeza bergantung kepada perlawanan, jadi kami semakin bertambah baik. Sekali lagi, saya rasa kami layak mendapat lebih daripada ini, tetapi pasukan yang lebih baik tidak menang,’’ kata Amorim.

United, yang akan berada di tangga ketujuh liga ketika Krismas, kini kehilangan beberapa pemain termasuk Bryan Mbeumo dan Amad Diallo yang menyertai tugasan antarabangsa di Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), namun Amorim enggan menjadikan perkara itu sebagai alasan.

“Kami perlu menyediakan semua pemain yang ada untuk perlawanan seterusnya. Kami tidak boleh menggunakan apa-apa sebagai alasan. Tiada siapa akan mengingati masalah ini, jadi kami perlu menghadapinya. Ia akan menjadikan kami lebih kuat.

“Saya melihat sejak awal musim sebuah pasukan yang bergerak ke hadapan, tetapi kadang-kadang sedikit leka, dan kadang-kadang tidak berada pada saat yang tepat untuk berjuang,’’ kata beliau.

“Kali ini, ia benar-benar berbeza; kami adalah pasukan yang lebih baik menentang pasukan yang kuat di tempat sendiri dan sedang berada dalam prestasi yang sangat baik. Kami benar-benar tidak bernasib baik,’’ kata Amorim

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img