Pejabat NSRC baharu dilancar Januari depan, percepat keupayaan selamatkan wang mangsa scam

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan pejabat baharu Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya pada Januari 2026.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penubuhan pejabat baharu itu merupakan antara langkah kerajaan bagi meningkatkan keupayaan menangani kes penipuan dalam talian dan memulangkan wang mangsa sekiranya laporan dibuat dengan segera.

“NSRC yang sebelum ini beroperasi di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia telah dipindahkan ke Menara 2 MCMC sekali gus membolehkan operasi lebih cekap dan bersepadu,” katanya, lapor Bernama.

Temu bual bersama Bernama itu diketuai Ketua Pengarang, Arul Rajoo Duraj Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita, Mohd Shukri Ishak dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Ekonomi, M Saraswathi.

Fahmi juga berkata, pemindahan pusat operasi itu mampu meningkatkan keupayaan NSRC untuk bertindak pantas memandangkan ia kini beroperasi 24 jam sehari dan jumlah petugas lebih ramai.

Ketika mula dilancarkan pada 12 Oktober 2022, NSRC yang boleh dihubungi melalui talian 997 menerima sekitar 300 hingga 400 panggilan sehari dan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Fahmi berkata, berkata sejak dipindahkan ke Menara 2 MCMC pada 17 November lepas, NSRC beroperasi 24 jam sehari dan menerima antara 500 hingga 700 panggilan sehari.

Beliau berkata, peningkatan itu mencerminkan peranan NSRC sebagai saluran utama rakyat untuk mendapatkan bantuan segera bagi mengelakkan kerugian kewangan yang lebih besar.

Fahmi turut menasihati mangsa supaya menghubungi NSRC dalam tempoh 30 hingga 60 minit selepas insiden bagi meningkatkan peluang untuk menyelamatkan wang yang dipindahkan, dan sebarang kelewatan mungkin menyebabkan kesukaran.

Beliau berkata, NSRC yang berada di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri, akan terus diperkasa bagi memastikan tindakan segera dapat diambil khususnya dalam membekukan akaun dan menjejak aliran wang mangsa penipuan dalam talian atau scam.

Fahmi berkata, keupayaan NSRC bertindak pantas termasuk menyelamatkan wang mangsa diperkukuh melalui kerjasama bersepadu antara Polis Diraja Malaysia dan bank komersial yang kini ditempatkan bersama di pusat operasi baharu itu.

Beliau berkata, analisis awal mendapati kegiatan penipuan dalam talian berlaku mengikut pola masa tertentu dan kelewatan membuat laporan merupakan faktor utama yang menyukarkan usaha menyelamatkan wang mangsa.

“Berdasarkan makluman dan data yang telah dikumpulkan, mungkin kita boleh ambil beberapa tindakan termasuk dengan kerjasama bank-bank komersial kerana kita dapati tindakan oleh pihak bank sebelum ini ada kesan yang positif tetapi mungkin ada beberapa cadangan tambahan yang ingin kita panjangkan,” katanya.

Fahmi juga berkata, kerajaan tidak pernah membezakan mangsa penipuan dalam talian iaitu sama ada mereka terperdaya dengan tawaran pelaburan yang menarik atau ditipu melalui kaedah lain kerana semua bentuk penipuan dianggap sebagai jenayah di sisi undang-undang.

Beliau berkata, unsur utama yang mentakrifkan penipuan adalah perbuatan itu sendiri tanpa mengira sama ada mangsa percaya mereka boleh mendapat pulangan kewangan lebih baik terutama melalui pautan pelaburan yang disebarkan dalam talian.

Kerajaan katanya, telah meminda beberapa undang-undang bagi memastikan takrif penipuan dalam talian diperjelas, selain menjamin penguatkuasaan dilaksanakan tanpa mengira motif atau persepsi mangsa.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img