SEBUAH bas ekspres milik PO Cahaya Trans yang membawa 34 penumpang terbalik di laluan persimpangan susur keluar Tol Krapyak, Kota Semarang, awal pagi ini kira-kira pukul 12.30 tengah malam (pukul 1 pagi waktu Malaysia. Insiden tragis itu mengorbankan sekurang-kurangnya 15 nyawa.
Bas bernombor pendaftaran B 7201 IV yang dalam perjalanan dari Jatiasih, Jakarta menuju Yogyakarta dilaporkan dipandu laju sebelum dipercayai hilang kawalan, melanggar penghadang jalan dan seterusnya terbalik.
Anggota Badan Mencari dan Menyelamat (Basarnas) Semarang yang sedang menjalankan Operasi Siaga SAR Khas Nataru (Krismas dan Tahun Baharu) di pusat kawalan Gabungan Kalikangkung segera bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Kami bersama pasukan SAR gabungan yang terdiri daripada Polis, penyenggara tol JasaMarga, dan agensi berkaitan berjaya mengeluarkan semua mangsa dari bas yang terlibat dalam kemalangan ini. Seramai 15 penumpang disahkan meninggal dunia manakala 19 lagi mengalami kecederaan,” kata Ketua Pejabat SAR Semarang, Budiono.
Menurutnya, proses pemindahan mangsa berdepan kesukaran kerana beberapa mangsa tersepit di dalam bas, selain keadaan di lokasi yang dipenuhi serpihan kaca.
Pasukan penyelamat terpaksa memasuki bas yang terbalik, membuka laluan ke arah mangsa dan mengeluarkan mereka dengan penuh berhati-hati.
“Operasi menyelamat selesai sepenuhnya pada pukul 4 pagi (pukul 5 pagi waktu Malaysia). Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan, namun dipercayai bas tersebut hilang kawalan ketika dipandu laju dari arah Jakarta menuju Yogyakarta pada waktu dini hari,” katanya.
Semua mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudiannya dihantar ke beberapa hospital berdekatan termasuk Hospital Umum Pusat (RSUP) dr. Kariadi, Hospital Columbia Asia dan Hospital Daerah dr. Adhyatma MPH atau Hospital Tugu Semarang.


