SEBUAH kereta Perodua Myvi dilaporkan musnah terbakar ketika menyertai pameran kenderaan di sebuah pusat beli-belah di Telok Panglima Garang di Kuala Langat malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 9.25 malam.
“Kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang terbakar 90 peratus dan dipercayai milik peserta program terbabit.
“Kejadian itu turut melibatkan sebuah lagi Toyota Vios yang dipercayai milik pengunjung pusat beli-belah berkenaan namun ia hanya mengalami kerosakan kira-kira dua peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Mukhlis, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dipadamkan tidak lama kemudian dan punca kejadian masih dalam siasatan.


