DUA penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan dua buah motosikal dan sebuah kereta di Jalan Mambau di Seremban, Negeri Sembilan malam tadi.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 9.34 malam melibatkan sebuah kereta Proton Waja dan dua motosikal jenis Honda yang ditunggang oleh mangsa, masing-masing berusia 41 dan 46 tahun.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah daripada motosikal terbabit memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar cermin sisi Proton Waja dan merempuh motosikal di belakang kereta itu.
“Berikutan kemalangan itu, kedua-dua penunggang motosikal yang bekerja sebagai pemandu lori mengalami kecederaan parah di kepala dan muka sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azahar memberitahu, kedua-dua mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat manakala pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami kecederaan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


