MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara beliau di bawahan tahanan rumah.
Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincang atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Jan 2024.
Susulan keputusan itu, Najib perlu menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang.
Dalam penghakimannya, Loke memutuskan bahawa titah adendum itu tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah tidak sah, lapor Bernama.
“Responden tidak mempunyai kuasa dan tiada kewajipan untuk mematuhi atau menguatkuasakannya… sebaliknya, pemohon (Najib) tidak mempunyai hak untuk memperoleh perintah mandamus… oleh itu, semakan kehakiman ini ditolak dan saya tidak membuat sebarang perintah berkaitan kos,” katanya.

Pada 13 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi untuk mendengar meritnya di hadapa hakim baharu selepas menolak permohonan Peguam Negara bagi kebenaran merayu kepada Mahkamah Rayuan berhubung isu membabitkan titah adendum.
Najib, 72, memohon perintah mandamus bagi memaksa kesemua untuk mengesah dan mendedahkan kewujudan dokumen itu yang didakwa bertarikh 29 Jan 2024.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Loke berkata minit mesyuarat mengesahkan bahawa satu-satunya keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam mesyuarat itu ialah pengurangan tempoh hukuman penjara dan denda terhadap Najib.
“Tiada sebarang perbincangan mengenai tahanan rumah, dan tiada nasihat yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan berhubung perkara itu.
“Justeru itu, titah adendum berkenaan tidak dibuat selaras dengan Perkara 42 dan bukan merupakan satu pelaksanaan hak prerogatif pengampunan yang sah,” katanya sambil menambah bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan secara bebas tanpa Lembaga Pengampunan.
Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong merupakan Raja Berperlembagaan dan baginda menjalankan kuasa serta fungsinya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Pelaksanaan kuasa prerogatif pengampunan tidak terkecuali daripada prinsip ini. Ia mesti dilaksanakan dalam kerangka perundangan yang menyediakan perlindungan dan had-had tertentu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Loke turut menolak hujah bahawa titah berkenaan adalah satu bentuk respit yang boleh dikeluarkan secara bebas oleh Lembaga Pengampunan.
Beliau berkata terma-terma titah berkenaan tidak menunjukkan sebarang unsur kecemasan, dan Perkara 42 tidak mengecualikan mana-mana keputusan pengampunan daripada keperluan untuk dibincangkan oleh Lembaga Pengampunan.
Hakim itu juga berkata perintah tahanan rumah tidak boleh dilaksanakan di bawah undang-undang Malaysia memandangkan undang-undang yang memperuntukkan pembebasan secara bersyarat memberikan kuasa budi bicara sepenuhnya kepada Komisioner Jeneral Penjara.
“Justeru, jelas bahawa titah adendum itu bercanggah dengan peruntukan berkaitan pembebasan secara bersyarat. Pada pandangan saya, pembebasan secara bersyarat adalah kuasa statutori yang hanya diberikan kepada Komisioner Jeneral Penjara,” katanya.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Nurhafizza Azizan mewakili responden manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.


