BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan di rumah.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, arahan anak guamnya adalah jelas dan tegas sejurus keputusan disampaikan, dengan pasukan pembelaan diarahkan untuk meneruskan proses rayuan bagi mencabar keputusan berkenaan.
Keputusan tersebut menyaksikan Najib, 72, kekal menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, selepas mahkamah memutuskan bahawa Perintah Tambahan (addendum) yang didakwa membenarkan tahanan rumah tidak mempunyai asas perlembagaan dan tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61.
Mengulas lanjut, Shafee menegaskan bahawa keputusan mahkamah hari ini membawa implikasi yang amat besar terhadap kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu, khususnya berkaitan kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Kuasa pengampunan adalah satu kuasa mutlak yang tidak boleh dicabar sejak sekian lama. Namun keputusan hari ini, pada pandangan kami, telah membuka ruang yang luas untuk kuasa itu dipersoalkan melalui proses kehakiman,” katanya dalam sidang media selepas perbicaraan kes di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, hari ini.
Beliau turut memberi amaran bahawa keputusan berkenaan berpotensi mencetuskan ‘floodgate’ atau limpahan permohonan undang-undang pada masa hadapan, apabila keputusan Lembaga Pengampunan boleh dicabar atas alasan prosedur, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara.
“Ini adalah kali pertama mahkamah membenarkan keputusan berkaitan pengampunan diperincikan dan dicabar secara sedemikian rupa. Ia membuka pintu kepada campur tangan politik dan kehakiman terhadap kuasa belas ihsan yang sebelum ini tidak boleh disentuh,” katanya.
Sehubungan itu, Shafee menyeru Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong serta Yang Dipertua Negeri agar meneliti secara serius kesan keputusan berkenaan kerana ia berpotensi menghakis kuasa institusi diraja yang termaktub dalam Perlembagaan.
Difahamkan, Najib dipenjarakan sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd. Hukuman asal penjara 12 tahun dan denda RM210 juta telah dikurangkan kepada enam tahun penjara serta denda RM50 juta melalui keputusan Lembaga Pengampunan pada 2024.


