SEORANG pemandu dikhuatiri lemas selepas kereta dinaikinya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Jalan Ampang Bay di Alor Setar, Kedah hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10.37 pagi dan tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima maklumat berhubung sebuah kereta yang terbabas dan terjunam ke dalam sungai, dipercayai terdapat seorang mangsa.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar bergegas ke lokasi kejadian dan turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jitra serta Sungai Petani,” kata kenyataan JBPM yang dikeluarkan hari ini.
Menurut kenyataan itu, pasukan penyelamat masih mengesan lokasi kedudukan kereta berkenaan dan pemantauan serta pencarian di permukaan air sedang dijalankan.


