Pemotong rumput didakwa lakukan sumbang mahram dengan adik kandung

SEORANG pemotong rumput dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap adik perempuan kandungnya yang berusia 25 tahun, minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 41 tahun sudah beristeri dan juga bapa kepada seorang anak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan dengan adik kandungnya itu di sebuah rumah di Labok, Machang pada jam 10.30 pagi pada 17 Disember lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana perhubungan yang tidak dibenarkan mengikut undang-undang dan hukum agama untuk berkahwin.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta hendaklah dikenakan sebat.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nur Syafiqah Mohamad tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan tersebut adalah kesalahan tidak boleh dijamin.

Hakim Tengku Shahrizan kemudian menegaskan mahkamah mengutamakan kepentingan keselamatan mangsa memandangkan hubungan kekeluargaan antara mereka.

“Saya perlu memastikan ada jarak yang jauh antara kamu kerana mangsa adalah adik kandung,” katanya.

Tertuduh tidak diwakili peguam dan tidak mengemukakan sebarang rayuan.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Januari tahun depan untuk pendengaran fakta kes dan hukuman.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img