KETUA Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh mahu parti itu menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan berikutan tindakan seorang pemimpin DAP meraikan keputusan mahkamah terhadap kes Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Melalui kenyataan dalam Facebook beliau, Akmal berkata, jika Setiausaha Publisiti DAP Yeo Bee Yin mahu bersukaria tidak apa tetapi apabila perasaan itu ditunjukkan melalui hantaran di media sosial ia bermakna Ahli Parlimen Puchong itu telah menghina orang UMNO.
‘’Jadi saya minta orang UMNO daripada peringkat cawangan mahupun sampai peringkat atas, cukup-cukuplah…kita ajar mereka ini…kita tarik sokongan daripada mereka ini. Biar kita duduk jadi pembangkang yang bermaruah,’’ tegasnya.
Bee Yin melalui akaun media sosial menulis ‘“Another reason to celebrate this year end” – (Satu lagi sebab untuk diraikan pada penghujung tahun ini) sambil menyertakan keratan laporan portal Malaysiakini berhubung keputusan mahkamah menolak Najib menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Akmal berkata, kalaupun UMNO yang memiliki 30 kerusi Parlimen menarik sokongan, kerajaan hari ini masih lagi kekal.
‘’Apa lagi yang kita tunggu..Biar kita jadi pembangkang, tak apa yang penting kita ada maruah dan maruah inilah yang perlu kita pertahankan,’’ katanya.
Sehubungan itu beliau meminta semua orang-orang Melayu akar umbi untuk menghadiri perhimpunan agung UMNO (PAU) pada 14 Januari ini.
‘’Kita datang ke PAU, kita suarakan…suara akar umbi Melayu di bawah ini, apa yang akar umbi Melayu mahu UMNO buat. Kalau kita nak keluar daripada kerajaan inilah masanya kita suarakan bukannya sekadar dalam media sosial, kita suarakan di medan sebenarnya. Saya minta tolong jagalah maruah ini,’’ katanya.


