Lelaki dan bapa mentua sehati sejiwa terlibat jenayah akhirnya diberkas

POLIS menahan seorang lelaki dan bapa mentuanya yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes jenayah kekerasan di sekitar daerah Kota Setar termasuk samun, curi motosikal, pecah rumah dan dadah sejak tiga bulan lalu.

Suspek yang berusia 23 tahun dan bapa mentuanya berusia 46 tahun ditahan selepas polis menerima laporan kes samun seorang pelajar wanita warga Tanzania yang mendakwa disamun suspek bermotosikal di Masjid Al-Bukhary di Alor Setar pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam kes samun pelajar wanita berkenaan yang ketika itu sedang berjalan kaki berhampiran masjid pada jam 11 malam.

“Bertindak atas laporan mangsa, pada jam 2.30 pagi sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menyerbu sebuah rumah di Jalan Kota Tanah, Lorong Air Putih.

“Dalam serbuan itu polis berjaya menahan dua lelaki iaitu suspek berusia 23 tahun yang mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah dan bapa mentuanya yang memiliki 12 rekod jenayah membabitkan kes curi kabel dan memiliki dadah,” katanya dalam sidang media di IPK Kedah di Alor Setar hari ini.

Mengulas lanjut Adzli berkata, susulan penahanan kedua-dua suspek, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes jenayah kekerasan iaitu lima kes samun, tiga kes jenayah harta benda iaitu dua pecah rumah serta satu kes curi motosikal di sekitar daerah Kota Setar.

“Polis telah merampas beberapa barangan milik mangsa iaitu sebuah motosikal Modenas Kriss, dua unit telefon bimbit, seunit tablet dan dua unit jam tangan jenama Rolex dan Seiko. Kesemua barangan itu sudah dibuat pengecaman oleh mangsa.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh hingga 14 tahun dan juga denda atau sebatan. Kedua-duanya direman sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Polis turut menyiasat kes ini mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img