WAKTU operasi di 10 kaunter Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) akan dilanjutkan bagi memberi ruang kepada pembayar menunaikan kewajipan berzakat sebelum berakhir tahun 2025.
Semua kaunter PPZ-MAIWP itu akan beroperasi bermula jam 8 pagi sehingga 9 malam kecuali di UTC Pudu Sentral sehingga 8 malam mulai 22 hingga 31 Disember ini.
Pusat pungutan zakat itu dalam satu kenyataan memberitahu, pembayar yang berurusan di kaunter PPZ-MAIWP juga akan menerima cenderahati istimewa iaitu beg beli-belah eksklusif dan kalendar 2026.
“Bagi memeriahkan suasana hujung tahun ini, pembayar zakat yang hadir berurusan di kaunter-kaunter PPZ-MAIWP akan disediakan dengan jamuan ringan serta tapak jualan asnaf dan rakan strategik yang disediakan khas untuk pengunjung,” kata kenyataan itu hari ini.
Selain itu, kenyataan tersebut memberitahu, pembayar juga boleh membuat bayaran zakat secara dalam talian melalui portal PPZ-MAIWP di www.zakat.com.my, aplikasi MyZakat serta melalui ejen-ejen bayaran yang dilantik seperti perbankan internet dan juga e-wallet.
Bagi pembayar yang tidak berkesempatan untuk mengunjungi kaunter PPZ-MAIWP dan ingin mendapatkan perkhidmatan secara peribadi boleh mendapatkan perkhidmatan Amil2U di mana pegawai PPZ-MAIWP akan hadir ke lokasi pembayar untuk urusan pembayaran zakat, kata kenyataan itu lagi.
Tempahan perkhidmatan boleh dibuat di mytemujanji.zakat.com.my. PPZ-MAIWP turut menawarkan perkhidmatan Zakat 1 Call Away yang membolehkan pembayar menunaikan zakat dengan mudah hanya melalui talian zakat kami di 1-300-88-5757.
PPZ-MAIWP dalam pada itu turut menyeru umat Islam di ibu negara agar menyegerakan pembayaran zakat di PPZ-MAIWP pada atau selewat-lewatnya 31 Disember ini bagi mendapatkan 100 peratus rebat cukai pendapatan tahun taksiran 2025.
“Sempena kempen Year End Zakat 2025, pembayar juga berpeluang memenangi pakej umrah dan lebih 1,500 hadiah menarik yang akan diumumkan pada Februari 2026,” jelas kenyataan itu.


