Kekasih dituduh bunuh Suri Narudin

SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tampin atas pertuduhan membunuh Suri Narudin yang mayatnya ditemukan di dalam beg ditanam di belakang sebuah rumah dekat Rembau, Negeri Sembilan.

Tertuduh, Zainizan Zainal, 51, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali, lapor Bernama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki itu yang tidak diwakili peguam didakwa membunuh Suri, 53, di kawasan belakang sebuah rumah di Jalan Pedas Linggi, Rembau antara 7 hingga 18 Disember lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan jaminan terhadap Zainizan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Januari tahun depan untuk laporan forensik serta bedah siasat.

Sebelum ini, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata mayat yang ditemukan di dalam beg yang ditanam di belakang rumah terbabit dipercayai wanita yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor sejak 8 Disember.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img