SEORANG wanita warga emas dan anak lelakinya ditemukan maut dalam kebakaran salah satu unit flat di PPR Dato Senu, di ibu negara pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mayat wanita berusia 82 tahun dan anak lelakinya berusia 58 ditemukan pasukan penyelamat dalam tandas sebaik sahaja kebakaran berjaya dikawal.
Komander Operasi Kanan Pegawai Kanan Bomba Kanan II Fathi Kameel Mohd Azri berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan menerusi sistem MERS 999 pada jam 7.18 pagi berhubung kebakaran sebuah rumah.
“Sebaik sahaja dimaklumkan, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dan BBP Gombak Selatan telah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah flat berkeluasan 37.16 meter persegi (20 x 20 kaki persegi),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi pemadaman telah dijalankan menggunakan enam aliran hos daripada pam jentera bagi memadam kebakaran serta mengawal api daripada merebak ke kawasan sekitar.
Katanya, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.51 pagi dengan anggaran kemusnahan sebanyak 40 peratus. Pada jam 8.27 pagi api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan kerja-kerja overhaul sedang dilaksanakan.
“Pasukan penyelamat menemukan dua mangsa iaitu lelaki dewasa berusia 58 tahun dan seorang wanita warga emas berusia 82 tahun dalam tandas dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” tambah Fathi Kameel sambil memberitahu, punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sebelum itu, JBPM Kuala Lumpur turut menerima laporan kebakaran yang berlaku di Blok F, Tingkat 17, PPR Seri Cempaka di Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada jam 5.11 pagi.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Anuar Khalid, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu yang melibatkan melibatkan dua unit rumah berkeluasan 55.74 meter persegi (30 x 20 kaki persegi).
“Sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan, jentera dari BBP Pantai dengan bantuan BBP Seputeh dan Jalan Hang Tuah bergegas ke lokasi kebakaran.
“Api berjaya dikawal pada jam 05:53 pagi, dengan anggaran unit pertama musnah 100 peratus manakala unit kedua terbakar 60 peratus namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.


