SEORANG kanak-kanak perempuan meninggal dunia manakala tujuh lagi dilapor cedera selepas terlibat terlibat dalam kemalangan di Kampung Pakoh Jaya, Kuala Nerus, Terengganu, pagi tadi.
Kemalangan melibatkan dua buah kereta yang berlaku kira-kira pukul 9.59 pagi itu meragut nyawa Putri Fredella Alfrida Diandra, berusia 2 tahun.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, PBK II KUP Mohd Zulmizami Sidek berkata, kenderaan pertama membawa tiga mangsa termasuk seorang wanita dewasa yang tersepit serta dua mangsa lain cedera ringan.
“Kenderaan kedua pula membawa empat orang dewasa dan tiga kanak-kanak, dengan dua dewasa tersepit serta seorang kanak-kanak meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit, manakala mangsa yang cedera dan meninggal dunia diserahkan kepada pihak ambulans dan polis untuk tindakan lanjut. Kerja-kerja pembersihan turut dilakukan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Operasi melibatkan seramai 9 anggota dan sebuah jentera FRT.


