KEMBOJA dan Thailand hari ini mencapai satu persetujuan menyeluruh bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan bersama dengan serta-merta, sekali gus mengesahkan komitmen kedua-dua negara terhadap keamanan, dialog dan kestabilan serantau.
Persetujuan itu dimeterai menerusi penandatanganan Penyataan Bersama pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Ke-3 hari ini.
Mesyuarat tersebut diadakan di Pintu Masuk Antarabangsa Prum–Ban Pak Kard, yang menghubungkan Wilayah Pailin di Kemboja dengan Wilayah Chanthaburi di Thailand. Ia dipengerusikan bersama oleh Jeneral Tea Seiha, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Negara Kemboja, dan Jeneral Nattaphon Narkphanit, Menteri Pertahanan Thailand.
Perbincangan berkenaan turut disaksikan oleh Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT), sekali gus mencerminkan peranan aktif ASEAN dalam menyokong usaha keamanan dan pembinaan keyakinan antara dua negara jiran itu.
Dalam Penyataan Bersama tersebut, kedua-dua pihak menegaskan kepentingan menyelesaikan sebarang pertikaian secara aman dalam suasana saling mempercayai, keikhlasan, niat baik dan rasa hormat bersama, selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Piagam ASEAN serta Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).
Penyataan itu turut menyebut bahawa mesyuarat berkenaan bertujuan membuka lembaran baharu ke arah keamanan dan kerjasama yang lebih erat antara Kemboja dan Thailand.
Kedua-dua negara juga mengimbas kembali Penyataan Pengerusi ASEAN yang dikeluarkan semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN di Kuala Lumpur pada 22 Disember lalu yang menggesa semua pihak supaya menahan diri dan mengutamakan dialog berhubung situasi yang sedang berlaku antara kedua-dua negara.
Menegaskan prinsip asas, Kemboja dan Thailand mengulangi komitmen teguh mereka untuk tidak mengancam atau menggunakan kekerasan, menghormati undang-undang antarabangsa serta sempadan yang diiktiraf antarabangsa, selain menjunjung kedaulatan, kemerdekaan, kesaksamaan dan keutuhan wilayah masing-masing demi kepentingan keamanan, keselamatan dan kemakmuran serantau.


