Tiada arahan minta ADUN Bersatu tandatangan akuan berkanun – Muhyiddin

PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada arahan dikeluarkan kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis dari parti untuk menandatangani sebarang Akuan Berkanun.

Selain itu beliau menjelaskan, Bersatu hanya menyembah maklum nama calon Menteri Besar Perlis setelah dititah oleh Istana Perlis untuk berbuat demikian.

‘’Justeru, Bersatu akan mendengar penjelasan ADUN-ADUN BERSATU negeri Perlis untuk mengetahui kedudukan sebenar isu ini. Saya ingin menegaskan bahawa Perikatan Nasional menghormati kuasa budi bicara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis dan menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis dalam pelantikan Menteri Besar,’’ katanya dalam kenyataan.

Krisis politik Perlis tercetus apabila lima ADUN Bersatu dan tiga ADUN Pas menandatangani akuan berkanun untuk menarik sokongan terhadap Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun Shukri meletak jawatan Khamis lalu atas alasan Kesihatan.

Berikutan itu Pas membuat tindakan menggugurkan keahlian tiga ADUN parti itu, sekaligus akan menyebabkan mereka kehilangan kedudukan sebagai wakil rakyat mengikut Enakmen Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.

Lanjutan daripada tindakan tersebut, Pas meminta Bersatu mengambil tindakan ke atas kelima-lima ADUN Bersatu yang terlibat menandatangani akuan bersumpah terhadap Shukri.

Beliau berkata, Perikatan Nasional juga menghormati kedudukan Pas sebagai parti yang memimpin PN Perlis.

‘’Saya berharap isu berhubung kedudukan Menteri Besar Perlis akan dapat diselesaikan dalam semangat keluarga besar Perikatan Nasional. Saya yakin bahawa parti-parti anggota Perikatan Nasional mempunyai kaedah masing-masing untuk menguruskan sebarang isu yang berbangkit dengan berhemah demi menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran Perikatan Nasional di Negeri Perlis,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img