Rokok seludup bernilai hampir RM1 juta dalam sebuah rumah dirampas

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas lebih 1.14 juta batang rokok seludup bernilai hampir RM1 juta di Tanah Merah, Kelantan pada 7 Disember lalu.

Kesemua rampasan itu berjaya dilakukan hasil risikan dan maklumat di mana sepasukan anggota dan pegawai JKDM Kelantan menyerbu sebuah rumah yang dijadikan stor di Kampung Pasir Panji, Tanah Merah pada jam 2.10 petang.

Pengarah JKDM negeri, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menemukan 1,142,000 batang rokok membabitkan nilai keseluruhan rampasan termasuk duti serta cukai berjumlah RM950,070.

“Rokok yang dirampas ini disyaki diseludup menerusi Sungai Golok untuk pasaran tempatan termasuk di sekitar Lembah Klang dan Kelantan, namun tiada sebarang tangkapan dilakukan,” katanya dalam sidang media di Pasir Mas hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Jamal Abdul Salam berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda antara 10 hingga 20 kali nilai barang atau antara RM100,000 hingga RM500,000, serta boleh dipenjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata JKDM Kelantan sentiasa bekerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam menangani jenayah rentas sempadan membabitkan Malaysia dan Thailand.

“Selain mengawal di pintu masuk utama, kita turut melakukan rondaan air secara berkala mengikut keperluan terutamanya selepas perobohan jeti haram dilakukan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Polis Kelantan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) telah merobohkan 10 lagi pangkalan haram di Sungai Golok pada awal Disember lepas termasuk pangkalan haram Ibrahim Pencen, Jeram Perdah 2 dan Syed Moer 2.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img