‘’Saya dijemput tandatangan SD oleh ‘broker’…tapi saya tolak – ADUN Beseri

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri Haziq Asyraf Dun, mendedahkan bahawa beliau antara ADUN yang telah dijemput untuk menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menarik balik sokongan terhadap Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.

Sambil menjelaskan bahawa jemputan itu dibuat oleh seorang individu yang bertindak sebagai ‘broker’, beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Perlis menegaskan, sebagai seorang ADUN yang dipilih oleh parti, adab serta prinsipnya ialah merujuk terlebih dahulu perkara itu dengan pimpinan Pas pusat dan negeri.

“Setelah mendapatkan nasihat, saya tidak hadir dan tidak terbabit, kerana jemputan itu tidak dibuat secara rasmi,” katanya dalam Facebook beliau, hari ini.

Sehubungan itu beliau meminta semua pihak untuk berfikir secara rasional tanpa dikuasai emosi serta melihat isu yang berlaku  dari sudut disiplin dan prinsip perjuangan parti.

AHLI Dewan Undangan Negeri Beseri Haziq Asyraf Dun ketika sidang DUN Perlis.

‘’Dalam Pas, tempat kita meletakkan ketaatan (taat) dan kepercayaan (thiqah) adalah kepada Pas Pusat dan Presiden Pas. Apabila satu keputusan telah dikeluarkan oleh Pas Pusat, sama ada kita suka atau tidak, setuju atau tidak, maka wajib ke atas kita untuk mematuhinya. Inilah asas jamaah,’’ katanya.

Beliau berkata, kemelut yang melibatkan tiga orang ADUN Pas yang menandatangani Akuan Bersumpah (SD) hilang kepercayaan kepada Mohd Shukri tanpa pengetahuan dan kebenaran parti adalah satu pengkhianatan yang jelas dan tidak perlu dipolemikkan lagi.

‘’Jika mereka memaklumkan kepada parti berkaitan ada usaha ini, saya yakin Pas Pusat tidak akan ambil tindakan. Sekiranya mereka merasakan tindakan tersebut adalah satu bentuk “kebenaran”, maka hakikatnya mereka gagal memahami lafaz baiah yang telah dilafazkan ketika menerima amanah sebagai ADUN.

‘’Baiah bukan sekadar lafaz, tetapi satu ikatan ketaatan kepada perjuangan dan kepimpinan parti. Saya juga turut melafazkan Bai’ah sebagai ADUN,’’ katanya.

Tiga ADUN berkenaan ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Haziq Asyraf berkata, jika SD tersebut tidak ditandatangani, saya yakin ruang perbincangan dan islah masih terbuka luas untuk menyelesaikan sebarang isu dalaman.

‘’Berkaitan tindakan Pas Pusat, pada pandangan saya, Pas Pusat telah membuat keputusan yang sangat tepat, melalui proses yang adil dan berintegriti, termasuk memberi ruang kepada tiga ADUN ini untuk bersoal jawab secara langsung dengan Pas Pusat. Saya sendiri hadir dalam pertemuan tersebut sebagai saksi,’’ katanya.

‘’Ketegasan Pas ini juga akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Pas sebagai sebuah parti yang berprinsip dan berdisiplin, khususnya dalam memastikan kestabilan Kerajaan Negeri Perlis terus terpelihara. Apa yang penting adalah menjaga keyakinan rakyat terhadap Pas,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img