SEORANG lelaki hanya mengalami kecederaan ringan selepas kereta jenis Perodua Axia dipandunya terbabas ke dalam sebuah kedai pakaian terpakai selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Proton Persona di Simpang Empat Sedaka, Yan hari ini.
Kemalangan itu dipercayai berlaku pada jam 11.30 pagi membabitkan dua kereta dan polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 1.15 petang.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintenden Mohamad Hamizi Abdullah berkata, kereta Perodua Axia dipandu seorang lelaki berusia 50 tahun terbabas ke dalam kedai pakaian terpakai selepas terbabit dalam kemalangan dengan Proton Persona yang dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an.
“Bagaimanapun, ketika kejadian pemilik kedai itu tiada dalam premis berkenaan.
“Pemilik kedai pakaian terpakai itu dan seorang pemandu kereta terbabit sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu, ” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.
Mohamad Hamizi berkata, pemandu Perodua Axia yang mengalami cedera ringan mendapatkan rawatan di Hospital Yan sebagai pesakit luar.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Peraturan 3(2)(b), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59).


