Sanusi ajak ahli UMNO kekalkan semangat Muafakat Nasional

KETIKA kemelut antara Pas dan Bersatu semakin memuncak berikutan krisis politik di Perlis, ‘menghidupkan semula’ Muafakat Nasional (MN) semakin ketara disuarakan oleh pemimpin Pas.

Hari melalui Facebook beliau, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat mengajak ahli dan penyokong UMNO untuk mengekalkan semangat Muafakat Nasional menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), khususnya kembali bekerjasama demi perpaduan ummah dan kestabilan politik negara.

Katanya,  Pas sentiasa terbuka menerima mana-mana ahli UMNO yang mahu bersama perjuangan parti itu, meskipun mereka masih berorganisasi dalam UMNO.

“Kita ajak kawan-kawan kita dalam UMNO. Kita alu-alukan orang UMNO yang mahu bersama kita dalam Pas. Walaupun mereka masih dalam UMNO, berorganisasi dalam UMNO dan ketua mereka pemimpin UMNO, kita percaya khususnya orang UMNO di Sik yang celik dan cerdik akan tahu siapa yang hendak diundi.

“Dalam PRU16 nanti, saya yakin mereka akan bersama Pas,” katanya yang juga Menteri Besar Kedah.

Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berharap ahli-ahli Pas dan UMNO khususnya di Sik dapat terus saling menghormati, bersatu padu dan bergaul seperti mana semangat MN yang pernah terjalin sebelum ini.

“Masa MN dulu, kenduri rumah orang UMNO, orang PAS yang sampai awal walaupun kenduri itu kenduri UMNO. Kita jadi kawan macam adik-beradik ketika itu. Suasana itu boleh diwujudkan kembali. Kita sekampung, diibaratkan adik-beradik. Kita harap perkara itu berkekalan kerana kita semua satu akidah, satu kiblat dan satu kariah.

“Kita akan bersama dengan Islam hingga akhir hayat, sama ada dalam kehidupan seharian mahupun dalam siasah, pentadbiran dan pemerintahan negara,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah tegaskan, Pas tidak mengamalkan diskriminasi atau pilih kasih dalam bekerjasama dengan mana-mana pihak.

“Kita tidak pilih bulu. Kita beri layanan yang sama dan adil kepada semua parti. Saya ajak semua ahli Pas terus bekerja kuat untuk memenangkan PRU16,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img