SEORANG bayi lelaki berusia lima bulan yang parah selepas Perodua Axia dipandu bapanya terbabit kemalangan di Jalan Felda Belara, Kuala Nerus di Kuala Terengganu pada Jumaat lalu meninggal dunia hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan Muhammad Fath Adrish Dhafin Mohd Firdaus meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Mangsa meninggal dunia selepas tiga hari dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), ” katanya hari ini, lapor Harian Metro.
Dalam kemalangan itu, kakaknya, Putri Fredella Al Frida Diandra, 2, yang berada di tempat duduk penumpang belakang meninggal dunia di tempat kejadian.
Kemalangan berlaku apabila kereta dinaiki mereka yang dipandu bapa, Mohd Firdaus Aziz, 36, dari Kampung Rahmat Chalok, Setiu bertembung dengan sebuah lagi Perodua Axia dipandu wanita berusia 20 tahun dari Kemaman.
Nahas itu turut menyebabkan enam lagi cedera.


