SEORANG lelaki warga emas maut dalam keadaan ngeri apabila tertusuk sebatang besi kabel selepas kereta dipandunya terbabas apabila memasuki laluan yang ditutup bagi kerja pemasangan kabel elektrik di Jalan Thean Teik, Ayer Itam, Pulau Pinang pagi ini.
Mangsa, Lim Soon Teik, 67, yang berasal dari Paya Terubong mengalami kecederaan parah di muka dan kepala serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, kereta Toyota Vios dipandu lelaki itu dipercayai memasuki laluan yang ditutup bagi pemasangan kabel elektrik sebelum kenderaannya terperosok ke dalam lubang.

Sebatang besi kemudian dikatakan menusuk dari bahagian bawah hingga menembusi bumbung kereta mangsa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake ketika dihubungi mengesahkan mangsa meninggal dunia, lapor Harian Metro.
Menurut beliau, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian itu dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 9.37 pagi.
Beliau berkata, kerja penyelamatan membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong diketuai Komander Operasi Zurizan Mohd Yusof.
“Tugas mengeluarkan mangsa dilakukan pasukan penyelamat sebelum kes diserah kepada polis bagi tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada jam 11.05 pagi,” katanya.


