Suspek kes letupan Desa Palma Nilai mungkin temui ajal jika tidak diberkas – Polis

POLIS percaya lelaki yang menjadi suspek kes letupan menggunakan bahan letupan buatan sendiri atau IED baru-baru ini berkemungkinan menemui ajal sekiranya tidak ditahan polis, berikutan kecederaan parah dialaminya.

Ini berdasarkan kepada keadaan lelaki warga emas itu yang dalam keadaan lemah, tidak bermaya malah tidak mampu untuk bangun bersendirian.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, suspek berusia 62 tahun itu dikatakan bersembunyi di kawasan hutan dekat Batang Benar, Nilai sebelum ditahan.

Menurutnya, selepas insiden letupan di kawasan tempat letak kereta Desa Palma, Nilai pada 22 Disember lalu, suspek dikatakan bersembunyi di kawasan hutan dekat Batang Benar dengan kesan kecederaan melecur pada muka, tangan, kaki dan tangan.

“Susulan siaran media mengesan suspek yang dikeluarkan pihak polis, orang awam yang masuk ke hutan untuk mencari hasil ternampak suspek sebelum menghubungi polis.

“Ketika ditemukan suspek memang tidak bermaya bersama sebuah motosikal dan beberapa IED. Dia dikatakan bersembunyi di kawasan itu dan jika tidak ditemui dalam masa dua hari, kemungkinan besar warga emas akan menemui ajal,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Alzafny berkata, buat masa ini suspek masih dalam keadaan tidak bermaya dan sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.

“Tidak banyak yang kami perolehi daripada suspek kerana dia masih dirawat. Kami masih jalankan siasatan sementara menunggu keterangan lanjut daripada lelaki ini.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berjadual 1958 serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.

Media semalam melaporkan suspek ditahan di sekitar Batang Benar dalam keadaan lemah dan beberapa kesan kecederaan di badan serta muka.

Terdahulu dalam kejadian awal pagi 22 Disember lalu, IED dikatakan meletup di dalam kereta ketika suspek dikatakan mengalihkan peranti berkenaan sebelum dia melarikan diri.

Polis meminta bantuan orang awam untuk mengesan suspek yang dikatakan menjadikan sebuah rumah di Desa Palma sebagai makmal selain lelaki itu juga dikenalpasti mempunyai pengetahuan mengenai pembuatan IED.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img