Pegawai dan anggota polis terlibat kes tembak Durian Tunggal kini tidak menjalankan tugas aktif

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memutuskan supaya semua pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam insiden tembak mati tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lalu agar tidak terlibat dalam sebarang penugasan aktif berikutan siasatan terhadap kes berkenaan sedang dijalankan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.

“Siasatan dalaman turut dijalankan oleh Unit Integriti PDRM, termasuk siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) selain siasatan jenayah yang sedang berjalan.

“Kes ini masih dalam siasatan dan buat masa ini, pegawai serta anggota yang terlibat tidak menjalankan penugasan aktif,” katanya ketika menjawab pertanyaan pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini mengarahkan siasatan kes tiga lelaki yang ditembak mati di ladang kelapa sawit Durian Tunggal oleh PDRM diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas salah seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis sehingga menyebabkan mangsa cedera parah di lengan kiri.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar sebelum ini memaklumkan kesemua suspek dipercayai aktif melakukan jenayah sejak tahun 2024 dan terlibat dalam sekurang-kurangnya 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian keseluruhan dianggarkan RM1.35 juta.

Bagaimanapun, pada 3 Disember lalu, ahli keluarga ketiga-tiga suspek menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan semasa kejadian.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img