Rusuhan bersenjata berpunca daripada pinjaman RM100,000, bukan kongsi gelap

POLIS Johor mengesahkan rusuhan bersenjata membabitkan sekumpulan individu di hadapan sebuah restoran di Taman Mount Austin, Johor Bahru pada Sabtu lepas tidak berkaitan dengan kumpulan kongsi gelap atau ahlong.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad sebaliknya berkata, insiden pergaduhan itu berpunca daripada pertikaian peribadi berkaitan urusan pinjaman wang untuk tujuan perniagaan.

Menurut beliau, rakan mangsa telah meminjamkan akaun banknya kepada seorang daripada suspek dan RM100,000 telah dimasukkan ke dalam akaun berkenaan melalui transaksi dalam talian.

“Tanpa pengetahuan suspek, rakan mangsa itu telah mengeluarkan wang tersebut secara berperingkat dan keadaan itu menyebabkan suspek berasa tidak berpuas hati serta menuntut bayaran balik daripada rakan mangsa.

“Semasa sesi perbincangan bagi menuntut bayaran balik yang turut dihadiri mangsa, telah berlaku perselisihan faham sebelum mangsa diserang oleh sekumpulan lelaki manakala rakan mangsa berjaya melarikan diri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Polis semalam memaklumkan, 12 lelaki warga tempatan dan seorang wanita Vietnam dipercayai terlibat dalam rusuhan menggunakan senjata itu yang menyaksikan mangsa diserang menggunakan kerusi besi dan pisau pemotong daging.

Seorang lelaki berusia 27 tahun mengalami kecederaan di kepala, lengan, betis serta calar di seluruh badan akibat insiden itu.

Ab Rahaman dalam pada itu berkata, setakat ini 13 individu berusia antara 20 hingga 47 tahun ditahan termasuk seorang wanita warga Vietnam yang merupakan isteri kepada seorang daripada suspek.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis ketamin.

“Kesemua 12 suspek lelaki direman selama tujuh hari bermula 28 Disember hingga 3 Januari depan, manakala suspek wanita direman selama tiga hari sehingga esok,” katanya.

Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah, Seksyen 307 dan Seksyen 148 akta sama atas cubaan membunuh serta memiliki senjata dalam rusuhan, selain Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang menggugat keselamatan serta kesejahteraan rakyat di negeri ini.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img