TINDAKAN Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mendakwa terdapat sumpah baiah dalam Pas menceraikan isteri dan menyifatkan ia memalukan, mendapat reaksi daripada Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman.
Dalam hantaran balas melalui Facebook beliau, Syahir meminta Mohd Asri menunjukkan apa perkara yang memalukan dalam teks lafaz baiah dan sumpah tersebut.
Beliau yang turut menunjukkan contoh lafaz baiah yang digunakan dalam mengikat kesetiaan pemimpin kepada perjuangan parti itu berkata, ‘’”Kita diajar, jangan diadakan perkara yang tiada. Tabayyun.’’

Lazaf baiah itu menyatakan:
‘Bahawa saya berikrar untuk patuh kepada hukum Allah dan Rasulnya dan patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
‘Dan bahawa saya bersumpah dengan nama Allah والله وبالله وتالله. Sekiranya saya meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan kerelaan sendiri setelah dipilih menjadi calon dan terpilih menjadi ADUN atau Dewan Rakyat atau dilantik menjadi Senator.
‘Maka saya akan dilaknat oleh Allah, Rasulnya, orang orang yang beriman serta sekalian yang melaknat. Dan segala perbelanjaan saya dengan menggunakan wang elaun ahli dewan yang tersebut adalah haram.
”Dan bahawa saya juga bersumpah dengan nama Allah…والله وبالله وتالله untuk meletak jawatan dari menjadi Adun atau Dewan Rakyat yang terbabit. Apabila kami keluar atau dipecat dari parti.’
Isu baiah menjadi tumpuan apabila tiga ADUN Pas bersama lima ADUN Bersatu menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebelum ini yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.
Tiga ADUN Pas itu ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (intong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji). Berikutan tindakan itu ketiga-tiga mereka bakal gugur sebagai ADUN kerana telah digugurkan sebagai ahli Pas.
Tergugurnya kedudukan sebagai ADUN termaktub dalam Enakmen Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.


